Home Berita PAS Terengganu

Terengganu tuntut hak senarai 10 projek wajib lulus RMK-13

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu mengemukakan senarai 10 projek mega yang dianggap ‘wajib diluluskan’ dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan Pertama (RP1) bagi memastikan keselamatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kelancaran ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat
berkata projek-projek tersebut merupakan keperluan mendesak dan bukan bersifat kemewahan.

Katanya, ia melibatkan aspek keselamatan rakyat, kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta pembangunan infrastruktur strategik.

“Antara projek yang disenaraikan ialah Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang (RM144.85 juta), Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buaya, Kuala Nerus (RM247.97 juta), Jalan Baharu KT-Bypass ke FT14, Kuala Terengganu (RM231.12 juta) dan RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM147.66 juta).

“Turut disenaraikan ialah pembinaan Blok Tambahan Hospital Besut (RM500 juta), penggantian Paip Air Submarin ke Pulau Redang (RM150 juta), naik taraf FT03 di Setiu (RM231.84 juta), Sistem Saliran Mesra Alam Kampung Mak Chili, Kemaman (RM29.90 juta), pembinaan Jambatan Baharu Pulau Kekabu, Marang (RM6.90 juta) dan naik taraf Stadium Hoki, Kuala Terengganu (RM7.90 juta),” ujarnya.

Menurut Hanafiah, projek-projek ini amat penting untuk menangani isu seperti hakisan pantai kritikal, banjir kilat, kemudahan kesihatan yang terhad, masalah air, jalan raya yang berisiko, serta infrastruktur sukan yang uzur.

“Terengganu adalah penyumbang utama hasil negara melalui industri minyak dan gas. Namun, kelulusan projek dan peruntukan sering berdepan kelewatan.

“Kami berharap kerajaan Persekutuan memberi keutamaan penuh terhadap 10 projek ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah beliau lagi, sebelum ini, RMK-12 telah meletakkan asas kukuh bagi menyediakan peruntukan pembangunan yang lebih besar kepada Terengganu, sekali gus menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Namun, dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), penglibatan Terengganu dilihat terbatas apabila negeri ini hanya terlibat dalam enam daripada keseluruhan 122 strategi yang digariskan.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perancangan pembangunan yang seimbang antara negeri, terutama bagi memastikan Terengganu terus mendapat manfaat setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi negara,” jelasnya.