KUALA TERENGGANU – Perbuatan buli disifatkan sebagai ‘racun keharmonian’ yang merosakkan hubungan sesama manusia dan berpotensi meragut nyawa jika dibiarkan berleluasa.
Khutbah Jumaat di seluruh Terengganu baru-baru ini menggariskan bahawa budaya buli, sama ada di sekolah, tempat kerja atau alam maya, merupakan perbuatan zalim yang diharamkan oleh Islam kerana mencederakan fizikal, mental dan emosi mangsa.
Menurut teks khutbah yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kes buli masih berada pada tahap membimbangkan.
“Tahun lalu sahaja, sebanyak 427 kes salah laku buli direkodkan di sekolah seluruh negara, termasuk insiden pada 2024 yang mengakibatkan kematian pelajar.
“Buli bukan sekadar memukul atau mengasari secara fizikal, malah termasuk memalukan, menakutkan, menyindir atau menyisihkan seseorang sehingga menjejaskan maruah dan kesejahteraan diri,” tegas khutbah tersebut.
Khutbah turut memberi amaran mengenai bahaya buli siber, yang berlaku melalui media sosial dan aplikasi mesej apabila mangsa dihina, difitnah atau didedahkan aibnya secara terbuka.
Jelasnya, perbuatan ini bukan sahaja berdosa, malah boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan yang serius sehingga mengambil nyawa sendiri.
“Firman Allah SWT dalam Surah Maryam ayat 96 turut dibacakan yang bermaksud: ‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan menjadikan bagi mereka perasaan kasih sayang (dalam hati manusia)’,” kata khutbah itu.
Khutbah menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat dan pemimpin berganding bahu mendidik generasi muda dengan nilai hormat-menghormati, tolong-menolong dan kasih sayang agar budaya buli dapat dihapuskan.
“Buli bukan budaya kita. Ia bukan gurauan, tetapi jenayah moral dan agama. Hentikan sebelum ada lagi nyawa terkorban,” demikian tegas khutbah itu.