KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu menggesa kerajaan Persekutuan menghentikan amalan layanan ‘dua darjat’ dalam pengagihan projek dan peruntukan pembangunan, yang didakwa membantutkan kemajuan negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat menegaskan, walaupun negeri berkenaan menjadi penyumbang utama hasil negara menerusi industri minyak dan gas, banyak projek yang dicadangkan berdepan proses kelulusan yang lambat, syarat tambahan yang ketat, malah ada yang dipotong skala pelaksanaannya.
“Ini bukan soal politik, ini soal keadilan kepada rakyat dan Terengganu bukan anak tiri dalam Persekutuan Malaysia.
“Hak kita mesti dihormati dan Terengganu berhak menikmati pembangunan setara dengan negeri-negeri lain,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Cukai berkata beliau juga menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman di Sidang Parlimen baru-baru ini.
Katanya, Ahmad Samsuri bukan sekadar mengkritik kelemahan, tetapi mengemukakan cadangan konkrit untuk memperkukuh kerjasama Persekutuan–Negeri, mempercepat pembangunan, dan memastikan Terengganu mendapat haknya secara adil.
Beliau turut menegaskan bahawa perkara tersebut adalah selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan, dan sebarang diskriminasi pembangunan terhadap negeri itu perlu dihentikan segera.
“Kita menyumbang hasil, kita berhak menikmati pembangunan setimpal,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan pembangunan luar bandar perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk bekalan air bersih, grid elektrik diperkukuh dengan tenaga boleh baharu, dan liputan internet berkelajuan tinggi ke seluruh daerah.
Dalam perbahasan RMK14 baru-baru ini, Menteri Besar turut menekankan keutamaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sebagai pemacu mobiliti dan ekonomi negeri, dengan memberi manfaat kepada pengangkutan hasil pertanian, perikanan dan industri.
Justeru itu, Hanafiah berkata beliau menyokong penuh desakan itu dan mahu Kerajaan Persekutuan segera meluluskan pelaksanaan projek yang telah siap kajian dan kerja awalan sejak 2022, sambil menegaskan komitmen politik serta kewangan amat diperlukan bagi mengelak kelewatan berterusan.