KUALA TERENGGANU Kerajaan PAS Negeri Terengganu komited untuk meneruskan agenda pembangunan sumber nadir bumi (REE) walaupun Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak menggariskan perincian khusus mengenai penglibatan negeri dalam sektor tersebut.
Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Terengganu sudah menggerakkan pelbagai inisiatif di peringkat negeri dengan kerjasama pelabur sedia ada bagi memastikan potensi REE dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Walaupun tiada agenda khusus dalam RMK13, ia tidak merencatkan persiapan negeri dalam usaha mengeluarkan hasil REE.
“Kita akan melaksanakan projek dalam skop dan bidang kuasa negeri terlebih dahulu, sementara perkara yang melibatkan dasar Persekutuan akan diteliti dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, berkata demikian ketika dihubungi hari ini mengulas mengenai perbahasan Ahli Parlimen Marang, Dato Sri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar semalam, di Sidang Parlimen.
Mohd Nurkhuzaini berkata, antara strategi yang telah digerakkan termasuk penyediaan makmal REE, pelantikan dua syarikat untuk memulakan kerja eksplorasi, selain mempertimbangkan lebih daripada 10 permohonan syarikat lain untuk mendapatkan kawasan eksplorasi.
Tambahnya, Majlis REE Negeri Terengganu telah memulakan mesyuarat sejak 2024 dan akan diteruskan sepanjang 2025 sebagai platform penyelarasan strategi dan pelaksanaan projek.
“REE adalah antara fokus utama negeri untuk masa depan. Bermula sekarang, kita telah menyusun pelbagai langkah untuk menjayakan agenda ini demi manfaat ekonomi negeri dan rakyat,” ujarnya lagi.