KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri hari ini melakar sejarah baharu dengan pelancaran Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) dalam memacu peningkatan ekonomi negeri secara mampan menjelang 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata TNEXT merupakan satu agenda komprehensif yang menggabungkan tiga dasar strategik.
Menurutnya, TNEXT menghimpunkan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu (DPPPNT) 2023–2030, Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITIH) 2024–2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT) 2025–2030 sebagai pelan hala tuju bersepadu ke arah ekonomi berkualiti, inklusif dan mampan.
“TNEXT ini yang menggabungkan tiga dasar itu dan kita tengok secara holistik pergerakan dasar-dasar itu nanti. kita nak membawa kepada suatu perubahan daripada (dasar) sekarang ke arah yang lebih baik.
“Dengan penambahan penambahbaikan dan kewujudan dasar-dasar dan rangka kerja ini, sudah pastinya kita bergerak pada satu langkah yang kedepan.
“Banyak, (sebagai contoh) kalau dalam dasar industri, kita menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) yang ada. Supaya proses-proses tu lebih mesra pelabur dan mempercepatkan proses-proses yang ada.
“Begitu juga dengan dua dasar lain lagi, rangka kerja lain tu adalah kita suitkan dengan apa yang pihak persekutuan ada, Kita rujuk dan kita melangkah ke arah yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025.
Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Dato’ Nara Setia serta Timbalan SUK (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif.
Melalui DPPPNT, kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi dalam enam kluster strategik iaitu minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik dan pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan.
Manakala, PITIH menetapkan sasaran Terengganu sebagai peneraju teknologi hijau serantau melalui tenaga boleh diperbaharui, mobiliti hijau, ekonomi sirkular dan industri hijau.
Mengulas lebih lanjut, beliau menjelaskan RTEDT akan dilaksanakan dalam dua fasa bagi memastikan transformasi digital menyeluruh.
“RTEDT ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama daripada tahun 2025 sehingga 2027 dan fasa kedua daripada tahun 2028 sehingga 2030.
“Fasa pertama akan menumpukan pada pengukuhan asas penggunaan digital manakala fasa kedua akan memacu transformasi digital secara inklusif dan menyeluruh melalui rangka tindakan ini, lima teras utama akan diberi penekanan.
Nurkhuzaini menjelaskan fasa pertama memfokus kepada pengukuhan asas digital, manakala fasa kedua memacu transformasi inklusif dengan penekanan kepada pendigitalan perkhidmatan awam, pembangunan bakat dan inovasi ekonomi digital.
Tambahnya, inisiatif sokongan TNEXT termasuk pemasangan tiang pintar (intelligent pole) di seluruh negeri untuk menyediakan rangkaian 5G, WiFi awam, lampu LED jimat tenaga, sensor udara, stesen pengecasan EV dan sistem keselamatan pintar, sejajar dengan pembangunan bandar pintar.
“Untuk negeri Terengganu, inisiatif ini akan memperkukuhkan kedudukan negeri terengganu sebagai peneraju teknologi hijau dan meningkatkan kualiti hidup melalui penyelarasan bandar pintar dan juga menjadikan model pembangunan seimbang antara kemajuan teknologi dan kelestarian alam.
“Inilah masa depan yang kita bina bersama, negeri Terengganu yang bukan sahaja pintar dari segi teknologi tetapi juga mampan dan berpaksikan rakyat,” ujarnya.