Home Berita PAS Terengganu

Kritik bantuan RM100 tidak bersasar, desak Projek Besut disegerakan

12
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa langkah kerajaan yang disifatkan tidak berfokus dan bercanggah dengan prinsip tadbir urus berkesan, ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau mempersoalkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara ‘one-off’ kepada semua rakyat, termasuk golongan berpendapatan tinggi, yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Menurutnya, langkah tersebut tidak menepati konsep penyasaran bantuan, malah bercanggah dengan alasan kerajaan sebelum ini untuk menyusun semula subsidi.

“Persoalannya, mengapa pengumuman ini dibuat hanya beberapa hari sebelum Perhimpunan Rakyat 26 Julai lalu? Mengapa ia dimasukkan di bawah SARA sedangkan sebelum ini SARA dikhususkan kepada B40 dan M40 bawah? Adakah ia akan benar-benar dilaksanakan atau sekadar pengumuman tanpa komitmen rasmi?,” soalnya.

Beliau turut mengulas isu integriti fiskal, termasuk dakwaan bahawa Perdana Menteri tidak mengambil gaji.

Katanya, secara prosedur kewangan, elaun atau gaji seorang penjawat awam tetap disalurkan ke akaun yang diperuntukkan, justeru ketelusan perkara itu wajar diperjelaskan.

Menyentuh soal percukaian, Che Mohamad Zulkifly mempersoalkan pembatalan cukai terhadap barangan bernilai tinggi, sedangkan cukai ke atas barangan harga rendah dikekalkan.

Beliau juga membangkitkan tanda-tanda tindakan cukai dan rampasan aset yang dilihat bersifat terpilih.

Berkaitan pengurusan hutang, beliau menarik perhatian kepada peningkatan hutang Persekutuan yang kini mencecah RM1.3 trilion berbanding RM1.25 trilion pada akhir tahun lalu, yang menurutnya bercanggah dengan gambaran penurunan hutang yang sering dicanangkan kerajaan.

Dalam konteks pembangunan daerah, beliau menggesa kerajaan mempercepat pembinaan klinik kesihatan baharu di Pulau Perhentian untuk mengurangkan kebergantungan penduduk kepada fasiliti di tanah besar.

Keperluan hospital baharu di Besut turut ditekankan, berikutan kesesakan di hospital sedia ada yang sering digelar ‘Hospital Panadol’ akibat kekurangan kelengkapan dan tempoh menunggu rawatan yang lama.

Selain itu, projek Jambatan Jerteh yang diluluskan sejak 2019 dengan kos RM124 juta turut disentuh, meskipun telah dimasukkan dalam RMK-12, beliau menegaskan pelaksanaannya masih belum bermula.

Beliau turut mengingatkan kerajaan agar menunaikan janji manifesto untuk menyalurkan peruntukan kawasan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, melalui saluran Parlimen dan bukan Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, syarat perjanjian yang dikenakan kini menyalahi semangat federalisme dan menafikan hak rakyat di kawasan pembangkang untuk menikmati pembangunan secara adil.

Mengakhiri ucapannya, beliau menggesa siasatan telus terhadap kes-kes kematian atau serangan terhadap saksi penting yang sebelum ini dianggap kebetulan, sambil mengingatkan bahawa kuasa politik adalah amanah sementara yang tidak wajar digunakan untuk menekan pihak lawan.