Home Berita PAS Terengganu

DPPPNT rancakkan Pelaburan Industri Terengganu

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam agenda pemerkasaan ekonomi negeri dengan melancarkan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023–2030 (DPPPNT) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam.

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dalam satu kenyataan berkata, dasar itu menjadi bukti keazaman Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem pelaburan serta merancakkan pembangunan sektor perindustrian secara strategik, inklusif dan mampan.

“DPPPNT ini digubal sebagai landasan utama bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Negeri Terengganu.
Ia selari dengan hala tuju pembangunan negeri dan agenda nasional berkaitan seperti Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” jelas kenyataan itu.

Dasar tersebut memberi fokus kepada kluster-kluster perindustrian strategik yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan di Terengganu termasuk industri minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik/pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan.

Enam teras strategik dibentuk sebagai tunggak utama pelaksanaan dasar ini, merangkumi penambahbaikan ekosistem pelaburan sedia ada, menaik taraf kawasan perindustrian, pembangunan kluster baharu, menggalakkan penerokaan industri baharu, pemutihan kawasan perindustrian yang tidak dibangunkan, peningkatan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, serta penyediaan insentif yang jelas dan telus.

Kerajaan Negeri juga menegaskan komitmen untuk menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi melalui pelaksanaan bersepadu oleh semua agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan pemain industri.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan akan dilakukan secara menyeluruh termasuk memperkasakan peranan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (MJPINT) yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau.

Menurut PMINT, pelancaran DPPPNT menandakan kesediaan Terengganu untuk melangkah sebagai destinasi pelaburan perindustrian yang kompetitif, berdaya tahan dan mesra pelabur, sejajar aspirasi menjadikan negeri ini pemacu pertumbuhan ekonomi rantau Pantai Timur.