BESUT – Lebih kurang 2,000 daripada 20,000 penternak akuakultur di seluruh negara memiliki Pensijilan Amalan Akuakultur Baik Malaysia (MyGAP), meskipun ia merupakan aspek penting dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Yei Mou Eim, berkata pencapaian sebanyak 10 peratus itu masih rendah dan usaha bersepadu perlu dipergiat bagi menggalakkan lebih ramai penternak memohon pensijilan tersebut.
“Di Terengganu, seramai 45 penternak telah memperoleh MyGAP, manakala kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 10 penternak tambahan menjelang hujung tahun ini.
“Pensijilan MyGAP menekankan amalan biosekuriti, kawalan penggunaan antibiotik serta ubat-ubatan, selain memastikan produk akuakultur yang dihasilkan selamat dimakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini.
Menurutnya, pelbagai bengkel, program kesedaran dan sesi latihan telah dianjurkan bagi membantu penternak memahami prosedur dan kepentingan MyGAP.
Tambah Yei Mou Eim, Kerajaan Terengganu melalui Pejabat Perikanan Negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti kemudahan infrastruktur asas termasuk pemasangan pagar dan kemudahan ‘dipping’, sokongan teknikal, serta penyediaan template dokumentasi dan rekod yang diperlukan bagi proses pensijilan.
“Walaupun memerlukan pelaburan awal daripada penternak, pensijilan ini memberikan manfaat jangka panjang, termasuk meningkatkan kualiti hasil ternakan dan keyakinan pengguna.
“Kita mahu lebih ramai penternak tampil mendapatkan MyGAP demi keselamatan makanan negara,” katanya.
Selain itu, kempen penerangan, pengedaran buku panduan dan sesi pengajian turut dilaksanakan bagi memastikan penternak benar-benar memahami tujuan serta faedah pensijilan ini.
“Dengan penglibatan aktif semua pihak, sasaran meningkatkan jumlah penternak bertauliah di setiap negeri diharap dapat dicapai menjelang hujung tahun, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan negara,” ujar beliau.