KUALA TERENGGANU – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dilihat bukan sahaja menekankan pembangunan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), bahkan turut meletakkan secara selari aspek pengkomersialan dan inovasi (C&I), menjadikannya R&D dan C&I.
Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam hal tersebut tidak wajar ‘re-invent the wheel’, tetapi lebih sesuai memilih ‘teknologi strategik’ yang ingin dibangunkan sebagai keperluan niche negara dan diangkat sebagai Agenda Nasional.
Justeru, Menteri Besar Terengganu itu mencadangkan lima proses keutamaan, agar pertambahan peruntukan bagi aspek R&D dan C&I ini menghasilkan impak maksimum kepada rakyat dan negara.
“Antaranya, menetapkan sasaran kenaikan perbelanjaan R&D secara berperingkat, dan mewujudkan mekanisma pemantauan yang efektif.
“Membangunkan modal insan berkualiti tinggi, melalui pelaksanaan program kajian lanjutan (PhD atau post-doctorate), bertemakan R&D berimpak tinggi dengan sokongan biasiswa yang kompetitif dan peluang kerjaya di dalam industri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu katanya, cadangan lain termasuk memperkukuh ekosistem kolaborasi sektor awam-swasta-akademik, melalui galakan program mobiliti antara universiti, institusi penyelidikan dan industri, bagi mempercepat proses pemindahan teknologi serta kemudahan prototaip.
“Juga mengarahkan pendekatan yang berfokus, kepada sektor yang menjadi kelebihan kepada negara dan keperluan setempat seperti industri pertanian pintar, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi halal.
“Di samping memantau dan menilai secara berterusan dasar yang berpandukan R&D, dan aliran peruntukan secara data-driven, untuk menghasilkan impak yang maksimum,” jelasnya.
Katanya, segala cadangan dan komentar tersebut diharap dapat dijadikan sebagai teladan dan penambahbaikan di dalam RMK-13, demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.