SETIU – Atas keprihatinan bersama terhadap isu gejala dadah yang semakin membimbangkan, satu sesi dialog antara agensi kerajaan, penguat kuasa dan pimpinan masyarakat melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu di Balairaya Kampung Gong Pasir, di sini.
Program tersebut bertujuan merapatkan jurang, mengukuhkan kerjasama serta mencari penyelesaian holistik dalam menangani isu penagihan dadah di daerah berkenaan.
Ahli Parlimen Setiu berkata, masalah dadah memerlukan pendekatan menyeluruh dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa.
“Kita tidak boleh hanya meletakkan beban ini di bahu pihak berkuasa semata-mata,” katanya dengan nada tegas.
Dialog itu menampilkan barisan panelis berwibawa daripada pelbagai agensi yang terlibat secara langsung dalam usaha memerangi dadah.
Mereka terdiri daripada Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad; Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Mohd Yushairey Zulkepli; wakil Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Nur Wahida Shahrir; serta Pengurus Perkampungan Darul Barakah, Alif Mahari, sebuah pusat latihan di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Terengganu yang menfokuskan kepada pemulihan bekas penagih dadah.
Superintendan Azamuddin menekankan peranan masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’ polis amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat, manakala Nur Wahida mengupas peranan keluarga dalam pencegahan berkesan serta peranan AADK dalam membantu penagih kembali ke pangkuan masyarakat.
Sementara itu, Alif Mahari menekankan kepentingan pendekatan rohani dan pemulihan menyeluruh dalam membantu bekas penagih dadah, sebagaimana yang dilaksanakan di Darul Barakah.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berharap segala pencerahan yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam menangani gejala dadah yang semakin runcing di Setiu.
“Semoga segala input yang diperoleh hari ini menjadi pemangkin kepada tindakan lebih bersepadu. Ini bukan hanya sebuah acara, tetapi pemula kepada satu gerakan yang lebih besar,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh JPKK DUN Jabi atas komitmen luar biasa, serta kepada para panelis yang sudi meluangkan masa memberi penerangan.
“Semoga kerjasama erat antara pimpinan masyarakat dan agensi penguat kuasa akan terus utuh, lantas memacu Setiu ke arah masyarakat sejahtera dan bebas daripada belenggu dadah,” tambahnya.