Home Berita PAS Terengganu

Ahli Parlimen Besut Persoal Integriti, Keberkesanan Ombudsman

10
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, mempersoalkan mekanisme dalaman yang akan menjamin integriti dan keberkesanan anggota Ombudsman apabila badan itu ditubuhkan kelak.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, beliau mengingatkan bahawa walaupun penubuhan Ombudsman dilihat positif, wujud kebimbangan tentang potensi salah laku dan pelanggaran integriti dalam kalangan anggotanya sendiri.

“Kalau selepas ditubuh, keberkesanan dan kepercayaan rakyat terhakis, itu masalah besar. Persoalannya, ‘who watches the watchman’? Atau lebih tepat, ‘who watches the watchdog’?,” ujarnya.

Beliau turut membangkitkan kritikan terhadap Biro Pengaduan Awam (BPA) sebelum ini, termasuk kekangan kuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap agensi kerajaan atau penyalahgunaan kuasa.

Ahli Parlimen Besut menekankan keperluan penambahbaikan khususnya dalam aspek sense of urgency bagi memastikan tindakan diambil dengan pantas dan berkesan.

Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengakui kelemahan BPA sebelum ini kerana berada di bawah kawalan kerajaan dan sukar untuk menegur pihak atasan.

Menurut beliau, Ombudsman akan mengambil alih peranan BPA serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), dengan bidang kuasa meliputi salah tadbir (maladministration), salah laku pegawai penguatkuasa (misconduct), pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Protection Act) dan Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act).

Azalina menjelaskan, draf akhir akan mengambil kira pandangan negeri-negeri yang mempunyai undang-undang FOI sendiri seperti Selangor dan Pulau Pinang, sebelum dibawa ke Kabinet. Beliau menyasarkan pembentangan dapat dilakukan pada sesi Parlimen Oktober ini.