KUALA TERENGGANU – Selepas kejayaan pelancaran projek solar terapung di Tasik Kenyir baru-baru ini, Terengganu kini bergerak pantas bagi menggerakkan gelombang pelaburan baharu dalam sektor tenaga bersih dan ekonomi lestari.
Pada Khamis lalu, kerajaan Negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) menerima kunjungan ACWA Power, peneraju global dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dari Arab Saudi, yang diketuai Pengerusinya, Mohamad Abunayyan.
Pertemuan berimpak tinggi itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Pertemuan itu bagi terus mengorak langkah strategik dalam tenaga solar, teknologi penyahgaraman air dan inisiatif hidrogen hijau.
Menurut kenyataan Terengganu Inc, pertemuan tersebut turut memberi fokus kepada projek-projek yang selaras dengan objektif peralihan tenaga jangka panjang Malaysia, di samping membuka peluang memperkukuh hubungan dua hala antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.
“Perbincangan ini bukan sahaja membincangkan pelaburan strategik, malah melihat kepada potensi komitmen peringkat tinggi untuk membentuk kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan ekonomi Terengganu,” kata kenyataan itu hari ini selepas pertemuan terbabit.
Sebagai entiti pelaburan utama negeri, Terengganu Inc. menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah penting selepas pelancaran solar terapung, yang akan mempercepatkan agenda tenaga lestari, membuka peluang pekerjaan dan meletakkan Terengganu sebagai hab tenaga bersih bertaraf antarabangsa.