MARANG – Seramai 518 penduduk Rhu Rendang hari ini pulang dengan senyuman apabila menerima dokumen tanah yang dinantikan sejak sekian lama.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata agihan itu meliputi 425 surat hak milik dan 93 notis Borang 5A.
“Alhamdulillah, sejak 2018 kerajaan negeri telah meluluskan 3,784 lot tapak rumah dan pertanian di Marang, dan khusus di DUN Rhu Rendang sahaja 1,830 lot tanah telah berjaya diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis agihan dokumen Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) membabitkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini.
Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang mengucapkan tahniah kepada semua penerima, sambil mendoakan tanah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan keluarga dan generasi akan datang.