Home Berita PAS Terengganu

Spesies baru belalang pygmy ditemui di Hutan Terengganu

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu mencuri tumpuan dunia pemuliharaan dan pemeliharaan apabila satu spesies baharu belalang ‘pygmy’ (kerdil atau kecil) yang dinamakan Belalang Sekayu atau Eufalconius sekayu telah ditemui di kawasan Hutan Simpan Sekayu, Kuala Berang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, mengumumkan mengenai penemuan spesies baharu itu kelmarin.

Menurut beliau, penemuan ini bukan sahaja membanggakan dari sudut saintifik, tetapi juga membuktikan bahawa kawasan hutan di Terengganu masih kaya dengan biodiversiti dan berada dalam keadaan yang terjaga.

Datuk Razali Idris

“Antara penemuan saintifik yang direkodkan adalah spesies belalang baru, iaitu Eufalconius belalang sekayu yang diberi kepada saya tadi gambar itu daripada genus Eufalconius.

“Belalang ini sebenarnya hanya ada di Malaysia dan spesies ini dijumpai oleh Dr. Nurul Ashikin Abdullah dari Universiti Melaya (UM) semasa ekspedisi saintifik kepelbagaian biologi hutan di Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan pada 9 Oktober 2024.

“Alhamdulillah, apa yang saya dapat lihat dengan adanya (penemuan) belalang sekayu bermakna negeri Terengganu masih menjaga kelestarian hutan.

“Pembalakan pun dijaga dengan sempurna maka habitat kepada spesies-spesies yang dah nak pupus masih berada di negeri Terengganu,” katanya.

Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan 2025 di Raia Hotel Kuala Terengganu.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyarankan supaya pencarian dan penjagaan yang lebih terperinci dijalankan oleh pihak berkenaan bagi mengenalpasti populasi belalang kerdil tersebut yang menurutnya, mempunyai nilai sebagai produk pelancongan negeri.

“Tetapi dia baru dijumpai dan kita akan minta supaya Jabatan Perhutanan melihat sama ada ianya spesies terancam ataupun memang tahap (bilangan) itu saja yang dia ada.

“Kita amat memerlukan spesies-spesies seperti ini seperti belalang sekayu tadi, itu satu produk baru untuk negeri Terengganu yang baru saja dijumpai dan belalang itu tak banyak bilangannya, silap-silap terhilang (pupus) jadi kita kena jaga habitatnya,” jelasnya.

Perkara itu turut disokong oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPMS), Dato’ Zahari Ibrahim dimana beliau menekankan bahawa penjagaan habitat memainkan peranan yang besar untuk meneruskan kelestarian alam.

Zahari Ibrahim

“Fungsi Jabatan Perhutanan sendiri untuk mengawal, mengurus dan merancang serta menguatkuasakan habitat biodiversiti ini.

“Ada masyarakat yang lihat hanya penting jaga harimau, jaga tapir, jaga raflesia tapi yang penting habitat atau rumah dia itu. Dan habitat ini juga sering diberi ancaman yang besar apabila kita membuatkan pembangunan dan juga pengeluaran ekonomi kepada negeri-negeri masing-masing.

“Jadi, apa yang saya ingin tegaskan, sehingga sekarang kawasan habitat kita masih mengekalkan keluasan dia daripada tahun 1984 sehinggalah ke tahun sekarang ini walaupun dalam keadaan ekonomi dan juga pembangunan pesat,” katanya.

Dalam pada itu, Zahari mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kesudian untuk menjadi tuan rumah bagi Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025.

“Maklumat (persidangan) ini penting supaya kita dapat mengutamakan apakah biodiversiti yang patut kita jaga, kita urus dan kita kawal dia daripada ancaman-ancaman yang lain.

“Jadi, saya berterima kasih kepada Kerajaan negeri, yang menjadi tuan rumah kita pada hari ini dan ini menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan negeri dalam memelihara dan mengurus serta menjaga khazanah hutan negara,” ujarnya.