Oleh ; Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Naib Presiden PAS menyifatkan cadangan Ahli Parlimen DAP agar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menyertai PAS sebagai tidak masuk akal dan bercanggah dengan perlembagaan parti politik di negara ini.
YAB Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cadangan itu tidak logik kerana Dr Wee masih mengetuai MCA dan mana-mana ahli parti secara automatik gugur keahlian jika menyertai parti lain.
“Saya pun tidak faham apa yang dimaksudkan oleh beliau.
“Bagaimana seorang Presiden MCA boleh menyertai PAS sedangkan dari segi perlembagaan parti masing-masing, langkah itu tidak sah dan akan menggugurkan keahlian asal.
“Ia satu perkara yang tak masuk akal berlaku,” jelasnya.
Cadangan berkenaan timbul dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa selepas Ahli Parlimen DAP mendakwa Dr Wee mendapat sokongan daripada blok pembangkang dalam isu tertentu, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan beliau berpindah parti.
Walau bagaimanapun, Ahmad Samsuri mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi membentuk Malaysia yang lebih baik.
“Saya rasa bukan sekadar MIC atau MCA, bahkan semua pihak yang mempunyai citra sama dengan perjuangan PN, iaitu untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang lebih baik daripada yang ada sekarang ini, dialu-alukan.
“Kita mengajak semua, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana parti politik dalam negara ini, untuk bersama-sama dalam perjuangan tersebut selaras dengan apa yang diperjuangkan oleh PN,” tambahnya.