DUNGUN – Sebanyak 20 unjam berjaya dilabuhkan di perairan DUN Sura, kira-kira lapan batu nautika dari daratan.
Inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Terengganu bagi membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan serta memelihara ekosistem marin secara mampan.
Sebanyak 40 unit kerek simen digunakan sebagai struktur alternatif kepada tukun tiruan, sekali gus memperkaya ekosistem marin dan menjamin kelangsungan rezeki nelayan melalui penglibatan aktif komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan kebajikan nelayan dijaga, termasuk melalui usaha memperkasa sumber laut secara berterusan.
“Laut kita luas, tapi ikan tetap perlukan tempat tinggal. Unjam ini ibarat rumah ikan. Kita bukan sekadar tabur benih, tetapi kita jaga habitatnya.
“Ini bukti bahawa Kerajaan Negeri bukan hanya janji atas kertas, tapi turun lapangan realisasikannya,” katanya selepas meninjau operasi pelabuhan unjam itu, baru-baru ini.
Jelasnya, penggunaan kerek simen merupakan pendekatan dengan kos efektif yang tetap berfungsi baik dalam membantu pertumbuhan populasi ikan, terutamanya di kawasan pantai yang aktif menjadi lokasi tangkapan.
“Walaupun kosnya lebih rendah, hasilnya sangat memberangsangkan. Ikan cepat berkumpul dan kawasan ini jadi lebih subur dan ikan tetap datang, malah cepat membiak.
“Apa yang penting, nelayan dapat manfaat cepat dan untuk jangka panjang,” tambahnya.
Turut terlibat dalam program tersebut ialah kakitangan teknikal JPM, sukarelawan tempatan serta wakil nelayan dari beberapa kampung di sekitar Dungun.