Home Berita PAS Terengganu

Terengganu pertegas kekal pengharaman vape

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu kekal tegas dengan keputusan pelaksanaan larangan penuh terhadap penjualan semua produk rokok elektronik (vape) di semua premis perniagaan di negeri ini yang bermula 1 Ogos lepas walaupun terdapat rayuan pihak tertentu untuk menangguhkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia sebagai usaha memelihara masa depan generasi muda daripada ancaman kesihatan yang semakin membimbangkan.

“Seperti yang semua sedia maklum, bermula 1 Ogos lalu telah berkuatkuasa pengharaman vape di negeri ini

“Tidak lagi dibenarkan premis-premis untuk jual vape dan tidak akan diberi lesen kepada pengusaha vape.

“’Banner’ atau papan tanda iklan berkenaan vape termasuklah penajaan-penajaan oleh syarikat vape ke atas apa juga penganjuran oleh pihak kerjaan negeri juga tidak akan dibenarkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu vape selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, arahan telah dikeluarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan agar memastikan semua papan tanda di kedai-kedai vape diturunkan.

“Selepas lapan hari perkara ini dikuatkuasakan, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kita masih kekal dengan apa yang kita putuskan.

“Keputusan pelaksanaan larangan penuh terhadap penjualan vape ini bukanlah dibuat secara mengejut, tetapi telah dimaklumkan lebih awal kepada pengusaha,” ujarnya.

Katanya, larangan ini telah diumumkan sejak 1 Mei lalu sebagai satu langkah memberi tempoh masa peralihan kepada semua peniaga bagi menghentikan aktiviti penjualan produk vape secara berperingkat sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula Ogos.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedia membantu pengusaha vape yang terjejas dengan menawarkan kursus-kursus yang bersesuaian bagi mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan baru.