Minda Presiden PAS
[Bil: 50 / 2025]
KUMPULAN DERHAKA MELAWAN SERUAN ALLAH
Firman Allah SWT:
وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦
“Mengapa kamu tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah daripada kalangan lelaki, wanita mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa (dengan berkata), ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya, dan berikanlah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berikanlah kami penolong dari sisi-Mu!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang pada jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang pula pada jalan taghut; oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75-76]
Sebab ayat ini diwahyukan adalah kerana seruan Allah yang mewajibkan mereka membela dan menyelamatkan saudara seagama yang dizalimi di Makkah kerana keislaman mereka. Sehinggakan, diwajibkan berperang terhadap bangsa sendiri yang zalim menentang Islam dan penganutnya.
Para ulama’ tafsir menegaskan bahawa pengajaran wajib diambil bukan daripada sebab turunnya ayat pada zaman itu sahaja. Akan tetapi, kewajipan itu menjadi perintah Allah yang kekal selama-lamanya, kerana al-Quran adalah petunjuk yang kekal sepanjang zaman.
Para ulama’ daripada kalangan semua mazhab Ahli Kiblat menegaskan bahawa jihad menjadi fardu ‘ain kepada setiap orang yang berada di negeri yang diceroboh dan kepada jiran-jirannya yang terdekat.
Hal ini termasuklah pencerobohan pada zaman kini terhadap Palestin, penaklukan Masjid al-Aqsa, serta kenyataan mahu merobohkannya dan diganti dengan kuil Yahudi, upacara sembahyang Yahudi yang telah dilaksanakan dan kekejaman yang berlaku di Gaza, serta merebaknya kekejaman di seluruh Palestin sehingga melampaui sifat kemanusiaan, menjadikannya lebih wajib menyahut seruan Allah tersebut.
Sasaran serangan ganas ialah kumpulan Islam yang berjaya memimpin rakyat Palestin, sehingga memenangi pilihan raya umum iaitu Hamas (gerakan Islam) yang disokong oleh semua kumpulan Islam dan kebangsaan Palestin. Namun begitu, Hamas dinafikan untuk menubuhkan kerajaan dan terpaksa bertahan di Gaza. Sebaliknya, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang kalah pula diiktiraf menjadi kerajaan kerana sedia bernormalisasi dengan Israel dan menjadi kerajaan boneka yang tidak ada kuasa.
Maka, wajib bagi negara-negara Arab dan Islam mengiktiraf kemenangan Hamas. Sebaliknya, ada yang meninggalkan kewajipan ini kerana meletakkan kepentingan puak dan keluarga masing-masing dalam sempadan negeri yang sempit, serta menjaga harta dan takhta masing-masing.
Hal ini menyebabkan kefahaman mereka disempitkan sehingga mengatasi kecintaan kepada agama dan bangsa. Bahkan, merendahkan Islam dan persaudaraan berdasarkan iman dan Islam yang disifatkan oleh Allah dan Rasul laksana satu jasad.
Allah SWT berfirman memberi peringatan dan amaran:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤
“Katakanlah, ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Tawbah: 24]
Golongan ini dihukum menjadi fasiq dan melakukan kezaliman yang pasti ditimpa hukuman daripada Allah SWT.
Allah bertanyakan mereka yang malas berjihad dan meninggalkannya kerana sebab-sebab keduniaan, serta memberi amaran bahawa Islam tidak boleh dihapuskan dengan sebab mereka tidak berjihad. Bahkan, tindakan itu hanya akan membinasakan diri mereka sendiri, sedangkan Islam tetap dipelihara oleh Allah dan tidak mungkin dihapuskan cahayanya. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩
“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah (untuk memenangkan Islam),’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu? Adakah kamu merasa puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal, keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berperang (berjuang meninggikan Islam), nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” [Surah al-Tawbah: 38-39]
Ayat di atas menjelaskan bahawa akan ada kaum lain yang menganut Islam yang mengambil alih kewajipan jihad dengan ikhlas. Adapun golongan yang mengabaikannya akan tenggelam dalam lautan harta dan takhta yang mereka cintai itu. Bahkan, mereka juga menjadi hina sehingga diperhamba dan dicatur oleh musuh yang pernah menjajah, memperhambakan rakyat dan mencuri, serta merompak harta di tanah air sendiri.
Sesungguhnya, melupakan amaran Allah apabila beristiqamah dan berwala’ kepada musuh, serta meninggalkan Islam yang mulia daripada Allah adalah sifat golongan munafiq yang dilaknat Allah, sebagaimana firman-Nya:
۞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ ءَامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَٱلۡكِتَٰبِ ٱلَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَٱلۡكِتَٰبِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ مِن قَبۡلُۚ وَمَن يَكۡفُرۡ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلَۢا بَعِيدًا ١٣٦ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ٱزۡدَادُواْ كُفۡرٗا لَّمۡ يَكُنِ ٱللَّهُ لِيَغۡفِرَ لَهُمۡ وَلَا لِيَهۡدِيَهُمۡ سَبِيلَۢا ١٣٧ بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا ١٤٠
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu! Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu akan kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan. (135) Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya! Sesiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan Hari Kemudian, maka sesungguhnya, orang itu telah sesat sejauh-jauhnya. (136) Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, kemudian kafir, kemudian beriman (pula), kemudian kafir (lagi), kemudian bertambah kekafirannya, maka sekali-kali Allah tidak akan memberikan ampunan kepada mereka, dan tidak (pula) menunjuki mereka kepada jalan yang lurus. (137) Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya, semua kekuatan kepunyaan Allah. (139) Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam Jahanam. (140)” [Surah al-Nisa’: 135-140]
Mereka telah meletakkan diri berada dalam kumpulan yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
ٱلۡأَعۡرَابُ أَشَدُّ كُفۡرٗا وَنِفَاقٗا وَأَجۡدَرُ أَلَّا يَعۡلَمُواْ حُدُودَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ ٩٧
“Orang-orang Arab Badwi itu, lebih sangat kekafiran dan kemunafiqannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Tawbah: 97]
Mereka terdiri daripada kalangan orang Arab yang tidak mempedulikan petunjuk al-Quran dan hikmah Rasulullah SAW yang dilahirkan dalam kalangan mereka.
Kini, ramai yang lebih berkiblat pemikirannya ke arah penjajah walaupun kiblat solat dan hajinya ke arah Kaabah. Zahirnya mereka kelihatan seperti Islam, tetapi langkahnya menentang Islam.
Kumpulan pada zaman mutakhir ini pernah dipergunakan bagi menjatuhkan kerajaan Islam (Khilafah ‘Uthmaniyyah) pada awal abad yang lalu. Mereka mendapat habuan daripadanya sehingga memiliki kuasa dan harta dengan perlindungan Barat. Akibatnya, mereka melupai Islam yang lahir daripada kalangan mereka, sedangkan Allah telah menjadikan mereka bangsa yang mulia bersama Islam. Namun begitu, mereka bertukar menjadi hina apabila membelakangi Islam.
Di negara mereka ditempatkan pangkalan bala tentera Barat bagi melindungi negara Israel dan sumber ekonomi yang dirompak dan dicuri. Adapun negara-negara dan takhta yang dihadiahkan itu laksana lembu susuan yang diambil susunya, dengan hanya diberi makan rumput dan air bagi menggemukkan badan dan menghasilkan susunya.Lebih malang lagi, apabila mereka menganggap kemunculan kumpulan Islam yang beristiqamah sebagai sesuatu yang bahaya, kerana mengikut fatwa penjajah. Malah, mereka disokong pula oleh para ulama’ upahan yang bertopengkan gelaran ulu al-amri.Alangkah malangnya apabila negara-negara Arab yang berjiran dan kalangan negara umat Islam yang lain menunjukkan sikap yang sama iaitu derhaka terhadap seruan Allah. Mereka bersekongkol bersama musuh yang menipu atas nama perdamaian yang zalim dengan tujuan mempertahankan Zionis dan mengecewakan Palestin.
Sehingga mereka memaksa kumpulan Islam yang benar-benar berjihad meletakkan senjata dan menyerah diri kepada musuh atas nama perdamaian, sekali gus meninggalkan perintah Allah untuk bersedia dengan segala kekuatan bagi menentang musuh. Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka apa-apa saja kekuatan yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Mereka melakukan satu lagi bentuk kederhakaan terhadap Allah, kerana umat Islam diwajibkan melakukan persediaan persenjataan bagi menentang musuh.
Malangnya, bagi menyelamatkan Israel, mereka telah mencetuskan Perang Teluk yang besar selepas berlakunya Revolusi Iran yang menyebabkan penubuhan negara baharu yang berjenama Islam. Republik Islam Iran yang baru sahaja ditubuhkan itu mengisytiharkan perang terhadap Israel bagi membebaskan Bait al-Maqdis. Maka, dilancarkan peperangan terhadap negara itu yang melibatkan seluruh negara Arab atas nama melawan Syiah yang membahayakan Sunni dan bangsa Arab.
Terdapat kalangan yang buta sejarah meletakkan nama negara Majusi kepada negara Islam yang ditubuhkan selepas kejatuhan Shah Iran itu. Padahal mereka boleh bersaudara dengan Iran pada zaman Shah yang bersahabat karib dengan Israel dan menolak Islam dengan nyata.
Iran pada ketika itu menjadi taman maksiat dan tempat berfoya-foya yang merosakkan. Malah, pemimpinnya turut menyatakan kebanggaan mereka terhadap negara Majusi dengan menyambut perayaan negara itu sebelum kedatangan Islam dan dijatuhkan oleh kerajaan Islam.
Selain itu, perang juga berlaku kerana perebutan kawasan minyak di antara Kuwait dengan Iraq, sehingga mengatasi semangat persaudaraan satu agama dan satu bangsa dalam berhadapan dengan satu musuh bernama Israel. Bahkan, mereka mendukung golongan pelampau yang ditaja oleh Barat dan Israel bagi merosakkan imej Islam dan mencetuskan fitnah perang saudara kerana perbezaan mazhab.
Maka, dilancarkan perang ke atas Yaman kerana kedudukannya yang strategik sehingga membahayakan Israel dan berada di tengah-tengah laluan yang membawa harta yang dirompak dari negara-negara Arab.
Lebih besar dosanya apabila ada yang bertindak menentang kumpulan Islam yang bangkit berjihad mengikut ajaran Islam yang berlandaskan kefahaman fiqh jihad dalam melaksanakan perintah Allah. Hal ini sebagaimana firman-Nya:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ ١٩٠
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Kumpulan Islam yang disaksikan oleh seluruh dunia ini sangat berbeza dengan kelompok Zionis yang paling melampau, sehingga menggerakkan perasaan simpati dalam kalangan bukan Islam dalam kalangan negara bukan Islam. Akan tetapi, ia tidak menyentuh hati kumpulan yang telah dicatur oleh Zionis dan sekutunya.
Yahudi Zionis ialah kaum yang paling dimurkai dan dilaknat oleh Allah kerana mereka telah membunuh para anbiya’, ulama’ dan pemimpin yang adil, sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بَِٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١
“Sesungguhnya, orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan serta membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih.” [Surah Ali ‘Imran: 21]
Maka, benarlah firman Allah SWT kepada mereka yang menolak negara Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di Madinah. Mereka akan menerima akibat sebagaimana kaum yang membohongi para rasul pada zaman dahulu yang buta akalnya. Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدۡ كَذَّبَتۡ قَبۡلَهُمۡ قَوۡمُ نُوحٖ وَعَادٞ وَثَمُودُ ٤٢ وَقَوۡمُ إِبۡرَٰهِيمَ وَقَوۡمُ لُوطٖ٤٣ وَأَصۡحَٰبُ مَدۡيَنَۖ وَكُذِّبَ مُوسَىٰۖ فَأَمۡلَيۡتُ لِلۡكَٰفِرِينَ ثُمَّ أَخَذۡتُهُمۡۖ فَكَيۡفَ كَانَ نَكِيرِ ٤٤ فَكَأَيِّن مِّن قَرۡيَةٍ أَهۡلَكۡنَٰهَا وَهِيَ ظَالِمَةٞ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَبِئۡرٖ مُّعَطَّلَةٖ وَقَصۡرٖ مَّشِيدٍ ٤٥ أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ ٤٦
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan (Negara Islam Madinah). (41) Dan jika mereka (orang-orang Musyrik) mendustakan kamu, maka sesungguhnya telah mendustakan juga sebelum mereka kaum Nuh, ‘Ad dan Thamud, (42) dan kaum Ibrahim dan kaum Lut, (43) dan penduduk Madyan, dan telah didustakan Musa, lalu Aku tangguhkan (azab-Ku) untuk orang-orang kafir, kemudian Aku azab mereka, maka (lihatlah) bagaimana besarnya kebencian-Ku (kepada mereka itu). (44) Berapa banyaknya kota yang Kami telah membinasakannya, yang penduduknya dalam keadaan zalim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi? (45) Maka, apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada. (46)” [Surah al-Hajj: 41-46]
Mereka tidak layak mendapat hidayah walaupun memahami al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab yang fasih dan nyata, serta Rasulullah SAW yang dipilih daripada bangsa mereka sendiri. Kekufuran mereka terjadi disebabkan mereka tenggelam bersama wawasan dunia sahaja tanpa akhirat.
Mereka yang derhaka kepada Allah pasti akan menerima akibatnya. Mereka akan tumbang di dunia dan tersungkur di akhirat.
Akhirnya, Allah tetap akan memutuskan kemenangan kepada Islam sebagaimana firman-Nya:
نَصۡرٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٞ قَرِيبٞۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ١٣
“Pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya di dunia ini). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” [Surah al-Saff: 13]
Adapun pada Hari Akhirat pula, mereka mendapat janji yang benar daripada Allah SWT:
تِلۡكَ ٱلدَّارُ ٱلۡأٓخِرَةُ نَجۡعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوّٗا فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فَسَادٗاۚ وَٱلۡعَٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِينَ ٨٣
“Negeri akhirat itu, Kami jadikannya untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Qasas: 83]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Safar 1447 / 6 Ogos 2025