KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid hari ini menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti sahih berhubung dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan warga asing berhubung pemberian subsidi kerajaan.
Dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pagi tadi, Rosol membangkitkan isu berkenaan sambil mempersoalkan kesahihan tuduhan yang dilemparkan oleh Anwar terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Saya menuntut bukti bila dan di mana kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Jika tidak, kita akan kemukakan usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana Perdana Menteri telah mengelirukan dan menipu Dewan,” tegas beliau.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kenyataan seperti itu dilontarkan tanpa disertakan fakta, apatah lagi ia melibatkan maruah seorang bekas Perdana Menteri.
Tegas beliau, sekiranya dakwaan itu tidak dapat dibuktikan dengan dokumen atau rakaman yang sah, ia merupakan satu pencabulan terhadap prinsip berparlimen dan integriti Dewan Rakyat.
Terdahulu, Anwar ketika menjawab soalan berhubung rasionalisasi subsidi mendakwa terdapat pihak yang mempertahankan kepentingan warga asing, termasuk dalam isu subsidi RON95.
Susulan itu, Muhyiddin menafikan pernah membuat kenyataan sedemikian dan mencabar Perdana Menteri mengemukakan bukti berbentuk rakaman, kenyataan media atau sebarang bentuk dokumentasi yang menunjukkan beliau menyokong pemberian subsidi kepada warga asing.
Rosol yang juga mantan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyifatkan kenyataan Anwar sebagai tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah sekiranya tiada bukti yang dikemukakan.
“Kita tidak boleh biarkan Dewan ini dijadikan tempat menyebar dakwaan tidak berasas. Ini bukan soal politik semata, tapi soal integriti institusi Parlimen,” katanya lagi.
Sesi Dewan Rakyat kemudiannya menyaksikan pertikaman lidah antara beberapa ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum Speaker campur tangan bagi menenangkan keadaan.
Isu ini dijangka akan terus hangat dibahaskan dalam sesi sidang Dewan Rakyat minggu ini, terutama jika Perdana Menteri gagal mengemukakan bukti seperti yang dituntut oleh pembangkang.