SENAI – Peluang menjalani latihan industri di syarikat berteknologi tinggi, FOZ One, diyakini mampu memperkukuh kemahiran dan meningkatkan daya saing graduan Universiti Kolej TATI (UC TATI), khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan acuan (tool and die).
Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, lawatan ke syarikat tersebut baru-baru ini memberikan gambaran jelas bahawa FOZ One memiliki fasiliti serta teknologi moden yang amat sejajar dengan program teknikal yang ditawarkan di institusi berkenaan.
Menurut beliau, perbincangan telah diadakan bagi membuka peluang kepada pelajar UC TATI untuk menjalani latihan industri di FOZ One, dengan harapan ia juga dapat membuka laluan kepada penempatan pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Saya melihat ini sebagai peluang yang sangat baik kerana pelajar UC TATI telah dibekalkan dengan kemahiran dalam bidang tool and die design serta tool and die making.
“Selain latihan industri, saya turut berbincang mengenai peluang untuk pelajar menjalankan projek penyelidikan di syarikat ini, sama ada di peringkat projek tahun akhir atau pascasiswazah,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menyertai lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke FOZ One, baru-baru ini.
Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dato’ Ariffin Deraman.
Dalam pada itu, Dr. Hairul Azhar turut menyeru anak-anak Terengganu untuk melanjutkan pengajian di UC TATI yang menawarkan program berteraskan kemahiran tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa kini.