KUALA TERENGGANU – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu mengeluarkan arahan rasmi supaya semua premis kerajaan, swasta dan perniagaan menghiasi bangunan masing-masing dengan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan sebagai lambang kecintaan kepada negara.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim berkata, arahan itu melibatkan semua pihak di bawah seliaan PBT, dan pelaksanaannya bermula serta-merta sehingga sambutan Hari Malaysia pada bulan September.
“PBT di seluruh negeri Terengganu telah mengeluarkan arahan kepada semua premis, sama ada premis kerajaan ataupun swasta, atau mana-mana peniaga untuk memasang bendera Malaysia.
“Ini merupakan salah satu tanda sokongan kita sebagai rakyat negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Walkabout bersama para peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan ke-48, di sini semalam.
Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Beliau menjelaskan, pemasangan Jalur Gemilang bukan sekadar keperluan kosmetik atau upacara semusim, sebaliknya mencerminkan jati diri dan komitmen rakyat terhadap makna kemerdekaan yang sebenar.
“Pemasangan bendera ini akan berterusan sehingga kemuncaknya pada bulan September nanti.
“Ia akan berlangsung sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini, dan akan memuncak pada sambutan Hari Malaysia,” jelasnya.