Home Berita PAS Terengganu

Counter Setting KLIA: MP Besut tanya status terkini

13
SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, hari ini bangkit dalam sidang Dewan Rakyat mempersoalkan isu rasuah yang berleluasa di KLIA, termasuk skandal ‘counter setting’ yang dikatakan melibatkan puluhan juta ringgit.

Beliau menyifatkan kelemahan membanteras rasuah di pintu masuk negara itu sebagai ancaman serius terhadap keselamatan, integriti dan reputasi negara.

“Kita lihat pada tahun 2023, pernah KLIA ini disebut sebagai lubuk rasuah. PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri pun pernah sebut Jabatan Imigresen disiasat. Apa status terkini terutamanya berkait ‘counter setting’? Apa yang berlaku dan berapa ramai sudah ditahan?,” soal beliau.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan.

“Kalau benar ada asas untuk disiasat orang-orang yang rapat dengan PM, maka siasatlah. Barulah mengkarung takut kepada naga.”

Menjawab soalan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa pelbagai langkah telah diambil, termasuk tindakan tatatertib dan siasatan SPRM.

Beliau memaklumkan bahawa pada tahun lalu sahaja, seramai 26 pegawai imigresen telah dipecat mengikut Perkara 37 atas pelbagai kesalahan, manakala lapan lagi dipecat pada tahun 2023.

Malah, 50 kes ‘phantom travellers’ telah disiasat SPRM, dua individu telah dituduh di mahkamah manakala 48 lagi masih dalam proses siasatan dan syor pendakwaan.

“Yang saya laporkan ini ialah tindakan yang telah dan sedang diambil. Ini bukan cakap kosong. Tak kira cicak ke, mengkarung ke, siapa pun tindakan tetap diambil,” tegas Saifuddin.

Isu rasuah di KLIA dan Jabatan Imigresen bukan isu baru, malah telah berulang kali dibangkitkan oleh rakyat. Harapan disandarkan agar siasatan dilakukan secara menyeluruh dan tidak ada campur tangan politik, demi membersihkan negara daripada najis rasuah.