Home Berita PAS Terengganu

Isu Gelandangan: Kerajaan Negeri ambil tindakan

159
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengambil pendekatan penuh berhemah dalam menangani isu gelandangan yang tular di pusat bandar Kuala Terengganu, dengan menekankan penyelesaian berbentuk kebajikan, bukan pengusiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menegaskan bahawa kes yang berlaku adalah terpencil dan tidak menggambarkan wajah sebenar bandar raya pesisir yang berteraskan nilai budaya.

“Kes ini hanyalah kes terpencil, jika ianya wujud di sini, kita akan ambil dia melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita bukan bandar metropolitan, kita bandar budaya, kita bandaraya pesisir air, tak sesuai dengan pihak gelandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Program Walkabout bersama para peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Jalur Gemilang bagi menyambut Hari Kemerdekaan ke-48 di sini semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Jusman Ibrahim dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.

Menurut beliau, kerajaan negeri prihatin terhadap nasib golongan ini, khususnya jika melibatkan warga emas yang tidak sepatutnya terabai oleh keluarga sendiri.

“Kita akan bincang dengan keluarga dia, sebab saya lihat gambar itu orang tua dan berusia, bukan orang muda.

“Kita tak tahu apa sebabnya dia jadi gelandangan, sama ada mungkin anak-anak dia tak ambil hal, tak ambil cakna atau sebagainya,” tambahnya.

Tambah beliau, usaha akan dibuat untuk mendidik dan menyedarkan waris melalui sesi pemahaman, agar tanggungjawab terhadap ibu bapa tidak diabaikan.

“Kita akan panggil untuk sesi pemahaman kepada anak-anak dia.

“Gelandangan ini sangat tidak sesuai di sini, tapi walau bagaimanapun kita ambil berat,” ujarnya.