Home Berita PAS Terengganu

“Negeri pengeluar tapi KDNK rendah, ini realitinya” – Dr. Azman

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negeri tidak semestinya mencerminkan kekuatan sektor pengeluaran di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menjelaskan, negeri-negeri yang tidak mempunyai pintu keluar masuk perdagangan antarabangsa seperti pelabuhan besar atau lapangan terbang bertaraf antarabangsa sememangnya akan mencatatkan angka KDNK yang lebih rendah, walaupun merupakan negeri pengeluar utama.

“Apabila produk keluaran negeri seperti Terengganu dieksport melalui pelabuhan atau lapangan terbang di negeri lain, maka nilai eksport itu akan dimasukkan dalam akaun KDNK negeri tempat pintu keluar itu berada, bukannya negeri asal produk.

“Contohnya, produk agro Terengganu seperti Melon Manis, ikan siakap dan kerapu hibrid, hasil laut, durian, tembikai dan pelbagai lagi memasuki pasaran eksport.

“Tetapi kerana ia dihantar keluar negara melalui pelabuhan di negeri lain, maka nilai eksport tersebut dikira dalam KDNK negeri berkenaan, bukan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Azman berkata, beliau akan berkongsi lebih banyak fakta menarik berkaitan bagaimana angka KDNK boleh memberi gambaran yang tidak menyeluruh, termasuk beberapa ‘buah kilas’ yang sering digunakan dalam perbahasan ekonomi.