Home Berita PAS Terengganu

Futsal Padang Eratkan Ukhwah

13
SHARE

DUNGUN – Penganjuran Kejohanan Futsal Padang antara mukim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bukan sahaja untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia kampung.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Besi, YB Haji Ghazali Sulaiman berkata, bahkan ia juga bertujuan untuk memperkukuh ukhwah dan semangat perpaduan antara penduduk kampung melalui sukan.

“Kita mahu belia di kampung aktif dan sihat, serta memanfaatkan masa dengan aktiviti yang bermanfaat seperti ini. Sukan bukan sekadar pertandingan, ia juga satu medan membina jati diri, disiplin dan kebersamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi, mengulas Kejohanan tersebut yang telah berlangsung dengan meriah hari ini di Padang Bola Sepak Felda Jerangau, pada 25 Julai

Menurutnya, Kejohanan melibatkan penyertaan dari tiga mukim utama iaitu Mukim Jerangau, Mukim Jengal dan Mukim Besol. Ia dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Besi dengan kerjasama iMITS Bukit Besi dan JPKK setempat.

Katanya, pertandingan ini merupakan platform pembangunan sukan peringkat akar umbi, di mana pasukan yang berjaya menduduki tempat pertama hingga keempat akan layak ke pusingan akhir dan seterusnya mewakili mukim masing-masing.

“Sambutan daripada masyarakat setempat amat menggalakkan dengan kehadiran penyokong yang memenuhi kawasan padang sejak awal pagi. Sorakan semangat dan sokongan padu dari setiap pasukan menyerikan lagi suasana pertandingan.

“Kejohanan ini dijangka akan diteruskan ke pusingan akhir dalam masa terdekat, melibatkan pasukan terbaik dari setiap mukim bagi merebut gelaran juara keseluruhan DUN Bukit Besi.” tambah beliau