Home Berita PAS Terengganu

1 Ogos larangan vape berkuatkuasa di Terengganu

22
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menyatakan kesiapannya untuk melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap larangan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri bermula 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu muktamad dilaksanakan selepas tempoh peralihan selama tiga bulan yang diberikan akan berakhir tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik atau vape.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah bersetuju tidak akan menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar produk vape bagi sebarang program anjuran Kerajaan.

“Larangan ini telah diumumkan sejak 1 Mei 2025 sebagai satu langkah memberi tempoh masa peralihan kepada semua peniaga bagi menghentikan aktiviti penjualan produk vape secara berperingkat sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula Ogos,” katanya.

Dalam memastikan kelancaran pelaksanaan, penguatkuasaan akan dilakukan secara serentak dan menyeluruh di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu, dengan tumpuan terhadap premis-premis yang masih menjual vape secara terbuka.

Antara bentuk tindakan yang akan dikenakan termasuklah kompaun RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil PBT, dan sekiranya kesalahan terus berulang, premis terlibat boleh disita dan barang-barang yang dijual akan dirampas.

Wan Sukairi.

Mengulas lebih lanjut, walaupun keterbatasan kerajaan negeri hanya terhad kepada premis di bawah jagaan PBT sahaja, pihaknya turut mengambil langkah kehadapan bagi menyekat penjualan vape secara atas talian.

“Kerajaan negeri melalui PBT mempunyai bidang kuasa yang terhad iaitu berkaitan hanya boleh mengambil tindakan terhadap peniaga vape yang mempunyai premis sahaja.

“Namun begitu, kerajaan negeri akan bekerja sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengatasi perniagaan vape secara atas talian di negeri Terengganu.

Wan Sukairi berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dalam satu kenyataan ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya lagi, orang awam turut digalakkan memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sebarang aktiviti penjualan vape secara terbuka mahupun tersembunyi.

“Orang awam boleh menyalurkan aduan melalui talian hotline PBT, aplikasi aduan awam, atau hadir ke kaunter penguatkuasa di pejabat PBT masing-masing.

“Aduan tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil,” tegasnya.

Kerajaan negeri turut memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran bebas vape dan melindungi kesihatan masyarakat, khususnya generasi muda.