KUALA TERENGGANU – Ibu bapa disaran lebih peka terhadap aktiviti anak-anak, walaupun mereka berada di dalam bilik, susulan kebimbangan terhadap penularan penyalahgunaan dadah sintetik yang kini mudah diperoleh secara atas talian tanpa perlu berjumpa pengedar.
Pengurus Pusat Pemulihan Dadah Holistik Kerajaan Terengganu, Alif Mahari, berkata antara trend yang semakin membimbangkan ketika ini ialah penggunaan ‘vape cendawan’, sejenis cecair psikedelik yang menyebabkan halusinasi serta gangguan mental.
Menurutnya, bahan terlarang itu biasanya dijual dalam botol kecil tanpa label jelas dan sering disangka sebagai cecair biasa, seperti pemanis stevia.
“Anak ‘order online’, barang sampai depan rumah. Emak tak syak apa-apa, letak di atas peti ais. Esoknya, anak titis dalam vape, sedut perlahan-lahan.
“Selepas itu, mereka masuk ke dunia yang mak ayah tak mampu faham bercakap seorang diri, bergaduh dengan pintu, menjerit ke arah siling.
“Inilah racun zaman baharu. Vape mushroom tak nampak seperti dadah biasa, muat dalam poket, tetapi cukup untuk merosakkan otak, menghancurkan hidup dan masa depan. Semuanya hanya dengan akses internet, tanpa perlu ke lorong gelap atau bertemu tokan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Justeru, beliau menegaskan, ibu bapa perlu segera mengambil serius perubahan tingkah laku anak-anak dan tidak memandang ringan tanda-tanda awal.
“Ramai ibu bapa masih belum sedar, merasakan ‘anak aku okay je kot’.
“Tolonglah, pandang mata anak, jenguk bilik mereka, cari kembali suara anak sebelum mereka hilang walaupun jasadnya masih ada di depan mata,” ujarnya.