Home Berita PAS Terengganu

Graduan INSTEP mahu bantu keluarga

20
SHARE

KUALA NERUS – Rata-rata graduan program Technical Energy Enrichment Programme (TEP) Plus- Upstream ambilan Januari 2024 berharap akan memperoleh pekerjaan yang bersesuaian setelah berjaya menamatkan pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).

Bagi Muhammad Iman Zulhaqim Mohd Sukizam, 24, dari Paka, Dungun berkata, dia mula mengenali tentang program TEP Plus melalui rakan dan kenalan yang sering bermain sukan bersama, selain jiran tetangga di kawasan perumahan mereka.

Malah jelasnya, lokasi kediaman yang berdekatan dengan kawasan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minatnya terhadap industri tenaga.

“Sebagai anak tunggal, dengan ayah yang bekerja jauh sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur, saya rasa tanggungjawab besar untuk menyokong ibu dan keluarga saya.

“Kehidupan yang dekat dengan operasi PETRONAS di Paka telah menimbulkan minat saya terhadap industri tenaga. Melalui program TEP Plus, saya berharap dapat memperolehi kemahiran yang diperlukan untuk membina masa depan yang lebih baik untuk kami sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Riduan Azman, 26, dari Kampung Tanggol, Kuala Berang mengakui, hanya melalui pendidikan dan kerja keras, dia mampu mengubah nasib keluarga.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, asbab dibesarkan dalam keluarga berpendapatan rendah dengan ayahnya bekerja ‘kampung’ dan ibunya bekerja sebagai tukang cuci di SJK(C) Chong Hwa Wakaf Tapai menjadikannya kuat.

“Ada hari dapat wang saku, ada hari tak. Kalau tak ada, saya bawa bekal dari rumah. Keluarga saya bukan senang, tapi kami sentiasa bersyukur,” ujar Riduan.

Kunjungannya ke reruai PETRONAS semasa karnival kerjaya membuka peluang baharu dalam hidupnya apabila diperkenalkan kepada program INSTEP.

Tanpa berlengah, beliau memohon dan akhirnya terpilih sebagai peserta Program TEP-Plus, khusus dalam bidang ‘Production’.

“Saya ada diploma dalam bidang elektronik dari Sekolah Vokasional Wakaf Tembesu. Apabila tahu pasal program ni, saya nekad nak cuba. Saya anak sulung, tanggungjawab saya besar, saya nak bantu keluarga,” ujarnya.

TEP Plus mencerminkan komitmen berterusan INSTEP dan PETRONAS dalam memperkukuh bakat teknikal tempatan serta membina ekosistem tenaga yang mampan.

Program selama 18 bulan yang ditaja oleh PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) itu merupakan inisiatif tajaan pra-pekerjaan yang direka untuk merapatkan jurang kemahiran antara pemegang diploma dan keperluan sebenar industri.