KUALA TERENGGANU – Walaupun berdepan pelbagai keterbatasan, kerajaan negeri terus mencari ruang untuk membantu rakyat yang sedang berusaha memperbaiki kehidupan, dengan memperkenalkan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah.
Menyifatkan inisiatif ini sebagai ‘langkah kecil, harapan besar’, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan bernilai RM844,000 ini mungkin kecil dari segi angka, namun cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk menjana pendapatan.
“Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah ini mungkin kelihatan kecil pada angka, tetapi cukup besar maknanya buat mereka yang bergantung kepada motosikal untuk mencari rezeki, tak kira sebagai penghantar makanan, kurier, penjaja kecil, dan pekerja sektor e-dagang.
“Sebanyak RM844,000 telah diperuntukkan bagi membantu 160 orang di seluruh negeri. Lima orang di setiap DUN akan dikenal pasti, bukan kerana keistimewaan mereka, tetapi kerana kesungguhan mereka untuk bangkit dan berdikari.
“Bagi kerajaan negeri, motosikal ini bukan sekadar kenderaan. Ia adalah alat usaha. Ia melambangkan harapan. Ia membawa makna bahawa walau kecil sumbangan kami, kami tetap mahu berdiri di sisi rakyat yang tidak pernah putus asa.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook rasminya, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan berusaha menyalurkan apa yang termampu dengan penuh tanggungjawab.
Dalam pada itu, Samsuri turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Terengganu yang terus memberikan kepercayaan dan ruang kepada pihak kerajaan negeri.
“Insya-Allah, kami akan terus berusaha menambah baik apa yang termampu, selagi diberi amanah,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah memperuntukkan RM844,000 bagi Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki motosikal bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan.
Perkara itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman pada 20 Julai yang lalu.