Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Negeri Pertimbang Tindakan Undang-Undang Terhadap Aiman

50
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang fitnah dan tuduhan tidak berasas yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri, khususnya berkaitan proses kelulusan permit hiburan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial yang dikenali sebagai Rezeki Aiman Enterprise.

“Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum berhubung penyebaran satu rakaman video di media sosial khususnya TikTok oleh Pemilik Akaun Rezeki Aiman Enterprise yang mendakwa kononnya terdapat penyelewengan dalam kelulusan permit hiburan, termasuk dakwaan sogokan kepada pihak tertentu.

“Pemilik akaun tersebut kemudiannya membuat rakaman video lain untuk memohon maaf dan mengakui kenyataannya adalah tidak benar dan menarik balik kenyataan dalam rakaman video yang terdahulu.

“(Namun,) Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pemilik Akaun Rezeki Aiman Enterprise.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media melalui akaun Facebook rasminya, sebentar tadi.

Dakwaan seperti itu bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, malah mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru, Wan Sukairi menegaskan bahawa mana-mana pihak yang memiliki bukti sahih mengenai penyelewengan perlu menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan menyebarkannya di media sosial.

“Sekiranya terdapat pihak yang memiliki bukti sahih, mereka disarankan untuk menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan telus dan menyeluruh dijalankan,” tambahnya.

Tindakan tegas itu penting sebagai mesej jelas bahawa kerajaan negeri tidak akan sesekali berdiam diri terhadap mana-mana cubaan mencemarkan imej dan integriti pentadbiran awam.