Home Berita PAS Terengganu

Pelaksanaan Dasar Wanita Mesti Lebih Menyengat, Bukan Sekadar Di Atas Kertas

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan dasar dan perancangan berkaitan pembangunan wanita di Terengganu perlu digerakkan secara lebih berkesan dan menyeluruh, bukan hanya berhenti pada peringkat kertas kerja atau dokumen rasmi semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim menegaskan bahawa setiap perancangan yang digubal perlu dilaksanakan secara konkrit agar memberi impak langsung kepada komuniti wanita, khususnya di peringkat akar umbi.

“Kita tidak mahu sekadar merancang program bersifat rutin, sebaliknya kita mahu bina pelan tindakan yang benar-benar menjawab keperluan masyarakat wanita hari ini lebih praktikal, berimpak tinggi dan menyeluruh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Bengkel Penyelarasan Program USWa 2026–2030, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Kampung Laut, semalam.

Maliaman turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung menjayakan bengkel berkenaan dan menegaskan keperluan agar setiap resolusi dibawa keluar ke medan tindakan.

Antara pendekatan baharu yang dicadangkan katanya, ialah pewujudan Pembimbing Wanita Komuniti di peringkat akar umbi, pembinaan jaringan strategik antara agensi dan NGO wanita dan peluasan latihan kepimpinan serta ekonomi digital kepada wanita muda.

“Wanita bukan sahaja tonggak di dalam rumahtangga, malah pemacu perubahan dalam masyarakat.

“Pelan strategik ini nanti mestilah menjadi panduan kerja yang mempunyai roh, digerakkan dengan semangat, dipantau dengan tekun, dan ditambah baik secara berterusan,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berpotensi menjadi agensi contoh dalam pelaksanaan dasar wanita di peringkat negeri, sekiranya berjaya menggabungkan kecekapan perancangan dan kekuatan jaringan pelaksana komuniti.

Beliau menambah, bengkel tersebut menjadi pentas penting membina hala tuju wanita Terengganu bagi tempoh lima tahun akan datang, sejajar dengan hasrat menjadikan wanita sebagai agen perubahan dan kekuatan dalam pembangunan negeri.