Home Berita PAS Terengganu

Terima Kasih, Ramai Rakyat Terengganu Sertai Himpunan ‘Turun Anwar’

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Terengganu mengucapkan Syabas dan terima kasih kerana kehadiran rakyat Terengganu, khususnya golongan anak muda mencuri tumpuan apabila menjadi kelompok terbesar dalam Himpunan Aman ‘Turun Anwar’.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Hamdi Harun berkata, kehadiran mereka membawa mesej jelas bahawa rakyat Terengganu sentiasa cakna dan tidak akan berdiam diri apabila keadilan diketepikan.

“Alhamdulillah, himpunan hari ini selesai dengan aman dan tertib. Tahniah dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Terengganu,

“khususnya anak-anak muda, yang turun menyatakan solidariti dan semangat mempertahankan hak rakyat serta maruah negeri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menyifatkan penyertaan dari Terengganu sebagai antara yang paling ramai dan menyerlah berbanding negeri-negeri lain.

“Kehadiran kalian amat bermakna dan memberi isyarat jelas bahawa rakyat Terengganu sentiasa cakna dan berani bersuara bila keadilan diketepikan,” ujarnya lagi.

Ustaz Hamdi turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas secara profesional dan memastikan himpunan berlangsung dalam suasana aman dan teratur.

“Semoga mesej hari ini sampai kepada yang memegang kuasa. Kita pulang dengan semangat, dan kita akan terus istiqamah menuntut yang hak,” tegas beliau.