Oleh : RR
KUALA TERENGGANU – Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu dan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menandakan satu anjakan strategik dalam usaha membina barisan kepimpinan muda Islam yang lebih mantap, dinamik dan bersedia memimpin.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun berkata, MoU itu bukan sekadar simbolik, tetapi satu pendekatan konkrit dalam memperkasakan anak muda melalui latihan kepimpinan, dakwah, pengurusan organisasi serta penyediaan pelapis menghadapi medan politik semasa.
“Kita tidak mahu anak muda hanya hadir program, tetapi mereka perlu dilatih, dipandu dan diberi ruang strategik untuk terlibat secara langsung dalam perjuangan parti serta pembangunan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Tambah Ustaz Hamdi, antara fokus utama MoU itu adalah melahirkan kepimpinan pelapis yang mampu memikul amanah besar dalam parti, termasuk menjadi wakil rakyat yang berakhlak, berwibawa dan dekat dengan rakyat.
Selain itu, MoU itu juga menekankan pentingnya menyampaikan mesej perjuangan PAS kepada generasi muda secara lebih berkesan, termasuk melalui media alternatif dan pendekatan naratif yang segar.
“Kita sedang membina gelombang pelapis bukan sekadar menyokong, tetapi memimpin. Ini masa untuk menyediakan anak muda yang mampu membawa suara Islam dengan kefahaman, hikmah dan strategi yang tepat,” kata Hamdi lagi.
Sebagai langkah awal, beberapa program bersama telah pun dilaksanakan seperti konvoi anak muda Pahang ke HIMPIT Kemaman 2025 dan perancangan siri jelajah, latihan kepimpinan dan program advokasi isu anak muda.
Menurut beliau, kerjasama ini sedang diperhati negeri-negeri lain dan berpotensi menjadi model penyatuan kekuatan pemuda di seluruh negara, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Bila kekuatan negeri saling disambung, kita bina barisan Pemuda PAS yang lebih kukuh sebagai kekuatan jemaah di peringkat nasional,” tegas beliau.
MoU ini juga akan diperluas kepada penyelidikan lapangan, pembinaan bahan media, advokasi dasar serta penyusunan data berkaitan pendidikan, pekerjaan dan peranan anak muda dalam masyarakat.