KUALA TERENGGANU – Selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang, Taman Tema Air di Taman Pertanian Negeri Sekayu bakal dibuka semula kepada orang ramai pada 24 Julai 2025.
Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim dalam satu kenyataan yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam.
Beliau mengajak orang ramai untuk kembali mengunjungi taman tersebut, khususnya taman tema air yang menggunakan air bukit semula jadi yang jernih dan sejuk, menjadikannya lokasi santai bersama keluarga.
“24 Julai 2025, Taman Tema Air di Taman Pertanian Sekayu akan mula dibuka kepada pengunjung. Pakat bawa anak-anak mari main air sambil bersantai.
“Banyak aktiviti menarik ditawarkan di sini antaranya taman tema air, ladang buah-buahan, tapak perkhemahan, asrama penginapan untuk program kem atau kursus, ladang lebah kelulut, kandang ternakan, aktiviti air dan banyak lagi.
“Menariknya kerana taman tema air di sini bersumber terus dari air bukit yang mengalir jernih dan sejuk,” katanya.
Menurutnya, taman tersebut yang sebelum ini menjadi antara destinasi agropelancongan popular di negeri ini terjejas teruk akibat banjir besar 2022, serangan gajah liar serta fenomena kepala air.
Terdahulu, Dr. Azman pernah menjelaskan bahawa kerja pemulihan pusat rekreasi tersebut tidak dijalankan secara menyeluruh, sebaliknya dilakukan secara bertahap melalui penglibatan pelbagai jabatan dan komuniti tempatan.
“Sejak setahun lepas, Kerajaan Negeri telah memperuntukan kira-kira RM2 juta bagi kerja-kerja pemulihan secara berperingkat.
“Jabatan-Jabatan Kerajaan di Hulu Terengganu seperti Pejabat Daerah, JKR, Majlis Daerah, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong membantu Jabatan Pertanian.
“Untuk menjadi jabatan angkat bagi sama-sama menyumbang untuk mengembalikan kecerian Taman Pertanian Sekayu seterusnya menggamit semula kehadiran pengunjung,” tambahnya.
Mengulas mengenai kadar bayaran, beliau yang juga merupakan ADUN Jabi menjelaskan ia masih dalam peringkat pertimbangan namun dijamin tidak akan membebankan pengunjung.