Home Berita PAS Terengganu

Jadikan keharmonian sebagai mekanisme strategi perniagaan – Ariffin

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Setiap syarikat digalak mengambil tindakan dengan menjadikan keharmonian sebagai mekanisme utama strategi perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, apabila memfokus perkara tersebut, impak positif bukan sahaja dari segi kewangan malah dapat meningkatkan nilai kemanusiaan dalam pekerjaan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong inisiatif syarikat yang mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan pekerja.

“Keharmonian perusahaan bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan sosial dan ekonomi, malah menjadi asas kepada pelaksanaan undang-undang perburuhan yang efektif dan lestari.

“Oleh itu, kita harus terus memperkukuh dialog sosial, memperbaharui undang-undang yang lapuk, serta membina kepercayaan antara majikan dan pekerja demi menjamin masa depan perburuhan yang adil, progresif dan seimbang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium Keharmonian Perusahaan Negeri Terengganu  Tahun 2025 : Pemantapan Hubungan Antara Pekerja, Majikan Dan Kesatuan Di Tempat Pekerjaan di Hotel Raia, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, penganjuran kolokium berkenaan turut bertujuan mengekalkan keharmonian perusahaan di negara ini melalui pemantapan pengetahuan tentang undang-undang perburuhan negara.

“Ia memberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan kepentingan Industrial Harmony Index (IHI) dan juga pindaan Akta Perhubungan Perusahan 1967 kepada majikan, pekerja dan kesatuan sekerja dalam sektor swasta,” ujarnya.

Ariffin berkata, kolokium tersebut merupakan salah satu usaha Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk mempertingkatkan keharmonian dalam pekerjaan bagi konteks pematuhan undang-undang dan peraturan perburuhan demi memastikan persekitaran kerja yang lebih kondusif, harmoni dan produktif.

“Program seperti ini amat bertepatan dan harus diperkasa dari semasa ke semasa.

“Saya percaya Jabatan Perhubungan Perusahaan sebagai agensi utama yang mengurus tadbir hubungan majikan dan pekerja, memainkan peranan penting dalam mendidik dan menyelesaikan sebarang perselisihan agar tidak menjejaskan kelangsungan sektor ekonomi dan perindustrian di negeri ini,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan negeri komited dalam menyokong segala usaha yang memelihara kebajikan pekerja, sambil memastikan hak dan kepentingan majikan turut dijaga.

“Pendekatan yang seimbang ini akan terus menjadi teras dasar kerajaan negeri dalam merangka polisi berkaitan pembangunan modal insan dan tenaga kerja mahir.

“Saya menyeru agar semua pihak iaitu pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan agensi kerajaan dapat terus berganding bahu bagi membentuk suasana kerja yang positif, bebas dari diskriminasi serta selamat dari sebarang bentuk eksploitasi atau penindasan,” ujarnya.