Home Berita PAS Terengganu

Vaksin Covid-19 beri kesan terhadap mata tidak tepat – Pakar Perubatan

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dakwaan bahawa program vaksinasi COVID-19 telah dihentikan susulan laporan kesan terhadap mata adalah tidak benar, menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal meneruskan program imunisasi COVID-19 kerana manfaat vaksin jauh melebihi risiko kecil yang dikenal pasti dalam kajian.

“WHO tidak pun menghentikan program vaksinasi COVID-19 kerana manfaatnya melebihi daripada sedikit risiko. KKM juga tidak memberhentikan program imunisasi atas jawapan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Mengulas lanjut, Dr. Suhazeli menekankan bahawa kesan sampingan seperti yang dilaporkan dalam kajian terhadap kornea mata adalah sangat rendah dan jarang berlaku, serta pemantauan berterusan sedang dilakukan.

“Kesan sampingan yang rendah dan jarang sebegini akan sentiasa dipantau dari masa ke semasa,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan penularan satu artikel berkaitan kajian di Istanbul, Turki yang mendapati perubahan kecil pada struktur kornea selepas menerima vaksin mRNA jenis Pfizer-BioNTech. Kajian itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang kecacatan penglihatan berlaku dan kesan perubahan juga bersifat sementara.