Home Berita PAS Terengganu

Lima Loji Rawatan Air SATU terima penarafan bintang Oleh CGSO

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Komitmen Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam memastikan keselamatan fizikal fasiliti air dan persekitaran kerja yang selamat mendapat pengiktirafan apabila empat buah Loji Rawatan Air (LRA) kendaliannya dianugerahkan penarafan bintang oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

Antara yang menerima pengiktirafan tertinggi ialah LRA Bukit Bunga di Besut yang berjaya memperoleh penarafan lima bintang, manakala LRA Sungai Tong (Setiu), LRA Kepong dan LRA Losong (Kuala Terengganu) masing-masing dianugerahkan empat bintang.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Abdul Karim Endut berkata, pencapaian itu merupakan hasil daripada pelaksanaan berterusan prosedur keselamatan ketat serta pematuhan kepada standard keselamatan yang digariskan oleh CGSO.

“SATU telah berjaya meraih pengiktirafan lima bintang dalam audit Jabatan Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia buat pertama kalinya sejak penubuhan SATU pada 1999.

“Pencapaian bersejarah ini mencerminkan komitmen seluruh warga kerja SATU dalam memastikan tadbir urus keselamatan maklumat, infrastruktur dan operasi yang terbaik bagi menjamin kelangsungan bekalan air bersih kepada rakyat Terengganu.

“Ia juga membantu mengurangkan potensi ancaman keselamatan dalaman dan luaran selain memberi dorongan untuk penambahbaikan berterusan dalam aspek operasi dan HSSE,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Minggu Keselamatan, Kesihatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE Week) SATU 2025 yang berlangsung di Permai Hotel, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Ir. Noorazman Soud; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, PPjB Nor Mahathir Muhamad; wakil CGSO negeri, Nazrul Hisyam Sidik serta rakan operator air dari negeri lain seperti Ranhill SAJ dan PAIP.

Tambah Abdul Karim, melalui penarafan bintang tersebut tahap keyakinan pelanggan terhadap servis SATU dari segi profesionalisme dan keselamatan operasi loji SATU dijangka akan meningkat.

“Pencapaian ini juga mencerminkan Keselamatan infrastruktur kritikal nasional (critical national infrastructure) terjamin. SATU mempunyai enam Loji Rawatan Air berstatus ‘Sasaran Penting’ sekaligus menunjukkan bahawa SATU mampu membekalkan bekalan air yang berkualiti dan terjamin,” katanya lagi.

Beliau juga berkata,  WEEK 2025 dengan tema ‘Safe Steps, Green Future’ merupakan program tahunan SATU bagi menunjukkan komitmen anak syarikat kerajaan negeri itu dalam penjagaan aspek keselamatan, kesihatan, dan alam sekitar.