KUALA TERENGGANU – Aktiviti bersenam tidak menjadi masalah asalkan dilakukan dengan kaedah yang betul, terutama bagi mereka yang baru berhasrat memulakan gaya hidup sihat.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah, berkata orang ramai digalakkan bersenam pada bila-bila masa, termasuk pada waktu malam, asalkan langkah keselamatan dan persediaan fizikal diberi perhatian.
“Bersenam pada waktu malam tiada masalah, tetapi pastikan ia dilakukan mengikut cara yang betul. Jangan terus melakukan senaman berat tanpa pemanasan badan (‘warm-up’), terutamanya bagi individu yang sebelum ini jarang atau tidak pernah bersenam,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menasihatkan golongan berusia 40 tahun ke atas yang baru mahu memulakan rutin senaman agar menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu bagi menilai tahap kesesuaian fizikal.
“Tidak kira sama ada anda bersenam pada waktu pagi, petang, atau malam, langkah berhati-hati amat penting untuk mengelakkan sebarang risiko kesihatan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, individu perlu memulakan senaman dengan intensiti rendah sebelum beralih kepada bentuk senaman yang lebih mencabar, agar tubuh dapat menyesuaikan diri secara berperingkat.
Nasihat tersebut selari dengan saranan umum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang menekankan kepentingan mengekalkan gaya hidup aktif secara selamat dan beransur-ansur mengikut kemampuan setiap individu.