Home Berita PAS Terengganu

Ilmu tanpa amal tidak cukup, ‘Tarbiyah Harakiyyah’ asas perjuangan

6
SHARE

Oleh ; RR

SETIU – Tarbiyah bukan hanya melalui pengajian ilmu, tetapi perlu dilengkapkan dengan penglibatan aktif dalam program jemaah seperti tamrin, rehlah dan usrah bagi membentuk kekuatan iman dan kesedaran perjuangan.

Demikian ditegaskan Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, YB Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir mengingatkan bahawa tarbiyah harakiyyah amat penting dalam membentuk kekuatan iman dan kesedaran perjuangan, berbanding tarbiyah bersifat hizbiyyah yang hanya menekankan aspek ilmu tanpa penglibatan amal.

“Kalau kita hanya belajar tapi tidak bersama program jemaah, kita hanya dapat tarbiyah hizbiyyah ilmu semata tetapi kita tidak dapat merasai kekuatan amal jama’i yang membentuk jiwa pejuang,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiu berkata demikian ketika merasmikan program Permukiman Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Guntong Luar, pada Jumaat.

Menurut beliau, penyertaan dalam program jemaah seperti usrah memberi impak yang besar walaupun secara zahirnya kelihatan kecil.

“Walaupun kita tidak dapat banyak ilmu, tetapi dengan bertemu muka dan bersama dalam suasana jemaah, ukhuwah menjadi lebih kukuh dan iman terasa semakin kuat.

“Kesedaran juga meningkat dengan sendiri,” ujarnya.

Beliau menekankan kepentingan membina insan beriman dan melaksana gerak kerja tersusun, seperti yang ditekankan oleh Imam Hasan al-Banna.

“Apa yang kita bincang hari ini mesti diterjemahkan kepada tindakan.

Jangan tinggal atas kertas semata-mata,” tegasnya.

Dalam konteks pengurusan organisasi, beliau menyarankan supaya pelantikan jawatankuasa lajnah dibuat berdasarkan komitmen dan kebolehan individu, bukan semata-mata mengikut kuota wakil DUN.

“Geografi Setiu ini besar. Tidak semestinya setiap lajnah perlu diwakili oleh orang dari setiap DUN.

“Apa yang penting ialah lantik mereka yang benar-benar sanggup bekerja. Pengerusi lajnah pula mesti kreatif dan mampu gerakkan isu,” tambah beliau lagi.