Oleh : RR
KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Setiu akan mengadakan pemukiman strategik dalam masa terdekat sebagai medan penting menyusun hala tuju, pelan tindakan dan pemantapan jentera parti, ke arah merealisasikan gagasan besar ‘Teguh Memimpin’.
Yang Dipertua (YDP) baharu PAS Kawasan Setiu Ustaz Zul Bhari bin Abdul Rahman berkata, program tersebut diadakan selepas selesai pelantikan Jawatankuasa PAS Kawasan dan penubuhan Lajnah-lajnah, dengan objektif memperincikan visi dan misi perjuangan parti serta melakar strategi yang lebih tersusun dan berkesan.
“Antara fokus utama yang bakal dibentang dan dibincangkan termasuk menjayakan natijah ‘Teguh Memimpin’ dalam setiap segmen kepimpinan dan pentadbiran.
“Transformasi idea dan kesepakatan dalaman bagi mengukuhkan jemaah serta memantapkan budaya kerja,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.
Menurutnya, ia juga akan mengukuhkan silaturrahim dan ta’awun dalam Perikatan Nasional (PN) dengan pihak-pihak yang selari dengan perjuangan Islam.
“Memasyarakatkan PAS melalui pendekatan mesra rakyat seperti kempen “PAS Pilihanku”.
“Menjadikan PAS sebagai parti yang menawan dan mampu menakluk hati rakyat, terutama generasi milenia, dengan strategi yang segar dan inklusif.
“Mengangkat Islam sebagai Diinul Hayat, asas kepada setiap dasar, program dan tindakan parti,” ujarnya.
Beliau menambah, pemukiman ini bukan sahaja bertujuan merancang, tetapi untuk memperkukuh iltizam seluruh kepimpinan kawasan agar segala gerak kerja dan pelaksanaan selepas ini lebih tersusun dan berkesan.
“Ini bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi satu medan untuk kita menyatukan fikrah, memperkuat barisan dan menetapkan halatuju agar PAS terus teguh sebagai peneraju politik yang berwibawa dan berprinsip,” katanya.
Justeru itu, dengan semangat kebersamaan dan tekad yang tinggi, beliau yakin mampu mencorak lanskap politik setempat yang lebih utuh dan berpaksikan Islam sebagai dasar utama perjuangan.