Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis sahih, yang disebut oleh Imam al-Bukhari RA dalam kitabnya, al-Jami‘ al-Sahih:
بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ، جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟ فَمَضَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ: سَمِعَ مَا قَالَ، فَكَرِهَ مَا قَالَ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ لَمْ يَسْمَعْ.
Bahawa sedang Nabi SAW bersembang bersama para sahabat RA, tiba-tiba datang seorang Badwi (Arab dari tempat yang jauh) terus bertanya Rasulullah SAW, “Bilakah berlakunya Kiamat (seluruh alam dimusnahkan)?” Rasulullah SAW tidak menjawab (tidak melayan) soalannya dan meneruskan perbicaraannya. Ada kalangan kami yang berfikir, mungkin Rasulullah SAW murka kerana caranya tidak bersopan. Ada pula yang berfikir, mungkin Baginda tidak memberikan perhatian kerana menumpukan perkara penting yang menjadi perbualannya.
حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ: أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ. قَالَ: هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: فَإِذَا ضُيِّعَتِ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ. قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا؟ قَالَ: إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.
Al-Quran, kitab firman Allah menyebut bahawa amanah merupakan perkara yang paling besar dan berat kewajipannya. Firman Allah SWT:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢
“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]
Hal tersebutlah yang menyebabkan makhluk sebesar alam bumi, bukit bukau, dan gunung-ganang takut menerimanya.
Allah mencipta manusia dengan ciri-ciri fitrah yang melayakkannya kerana berjasad, bernyawa, berakal, bernafsu, dan bermasyarakat, dibantu oleh ilmu wahyu dan akal. Bermula dengan pasangan Adam AS dan Hawwa’ AS yang diberikan ilmu yang tidak ada pada makhluk yang lain. Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَـٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.’ (30) Dan Dia mengajari Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat, lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!’ (31)” [Surah al-Baqarah: 30–31]
Adam AS dikurniakan ilmu wahyu dan ilmu dunia yang berwawasan dunia dan akhirat. Baginda diperintahkan supaya beribadat, mentadbir urusan dunia, dan menunaikan amanah dengan menegakkan hukum yang adil.
Allah SWT menyatakan amanah yang penting dalam firman-Nya:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58–59]
Allah mengutus para anbiya’ yang dipilih daripada kalangan manusia untuk menjadi teladan yang terbaik. Firman Allah SWT:
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣
“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]
Allah menetapkan Nabi Ibrahim AS menjadi contoh dan teladan yang terbesar dalam beristiqamah menegakkan Islam kerana diuji dengan cabaran menghadapi kuasa besar yang zalim pada zamannya. Firman Allah SWT:
وَمَن يَرۡغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبۡرَٰهِـۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفۡسَهُۥۚ وَلَقَدِ ٱصۡطَفَيۡنَٰهُ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَإِنَّهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٣٠ إِذۡ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسۡلِمۡۖ قَالَ أَسۡلَمۡتُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٣١ وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبۡرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعۡقُوبُ يَٰبَنِيَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٣٢ أَمۡ كُنتُمۡ شُهَدَآءَ إِذۡ حَضَرَ يَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِيۖ قَالُواْ نَعۡبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآئِكَ إِبۡرَٰهِـۧمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗا وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ١٣٣
“Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh, Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya, dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. (130) Ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘Tunduk patuhlah (Islamlah)!’ Ibrahim menjawab, ‘Aku tunduk patuh (Islam) kepada Tuhan semesta alam.’ (131) Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya‘qub. (Ibrahim berkata), ‘Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam!’ (132) Adakah kamu hadir ketika Ya‘qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, ‘Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?’ Mereka menjawab, ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Isma‘il dan Ishaq, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya (Islam).’ (133)” [Surah al-Baqarah: 130–133]
Islam ialah agama semua anbiya’, termasuk Nabi Ibrahim AS yang dipilih menjadi contoh teladan dalam perjuangan menentang kezaliman dan menegakkan hukum yang adil, sehingga Baginda AS disanjung oleh penganut semua agama. Firman Allah SWT:
۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘(Dan saya mohon juga) daripada keturunanku.’ Allah berfirman, ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim.’” [Surah al-Baqarah: 124]
Al-Quran dan hadis mendedahkan sifat mereka yang tidak layak menjadi pemimpin, antaranya ialah yang melaksanakan politik berprinsipkan harta kekayaan, rasuah, menipu, dan merendahkan besarnya amanah tersebut sehingga meminta-minta jawatan dengan mudah.
Firman Allah SWT:
وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧
“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedangkan dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilihnya sebagai rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]
Allah menceritakan tentang kaum Bani Isra’il yang menolak petunjuk Allah yang melantik Talut menjadi raja yang memimpin mereka kerana Talut tidak kaya berharta. Mereka menolak bahawa berilmu dan berakhlak mulia adalah keutamaan. Hakikatnya, harta boleh dihasilkan secara halal dengan ilmu dan kebijaksanaan serta akhlaknya. Sebaliknya, kekayaan bersama kejahilan hanya membawa kerosakan kepada negara dan rakyat.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّا وَاللهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ، وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ.
“Sesungguhnya, demi Allah, kami tidak melantik menjalankan tugas kepada seseorang yang meminta-minta jawatan dan seseorang yang rakus mahu akan jawatan.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1733, daripada Abu Musa al-Ash‘ari]
Sabda Rasulullah SAW:
سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَأْمُرُونَكُمْ بِمَا لَا يَفْعَلُونَ، فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكِذْبِهِمْ، وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ، فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ، وَلَنْ يَرِدَ عَلَيَّ الْحَوْضَ.
“Akan muncul kepada kalian para pemimpin yang menyuruh kalian apa-apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya. Maka, sesiapa yang percaya kepada pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, nescaya dia bukan daripada kalangan umatku dan aku bukan daripada kalangannya, serta dia tidak diizinkan bersama di kolamku (Kauthar pada Hari Kiamat).” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, no. 5702, daripada Ibn ‘Umar]
Dalam riwayat lain, sabda Rasulullah SAW:
إِنَّهُ سَيَكُونُ أُمَرَاءُ مِنْ بَعْدِي فَلَا تُصَدِّقُوهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَلَا تُعِينُوهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَنْ يَرِدَ عَلَيَّ الْحَوْضَ.
“Sesungguhnya, akan muncul pada akhir zaman para pemimpin, maka janganlah kalian mempercayai pembohongan mereka dan janganlah kalian menolong kezaliman mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang percaya kepada pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, nescaya dia tidak dibenarkan datang ke kolamku (Kauthar pada Hari Kiamat).” [Riwayat al-Hakim, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Kitab al-Iman, no. 262, daripada Khabbab]
Islam meletakkan jawatan pemimpin merupakan kewajipan agama yang besar fadilatnya jika ditunaikan dengan petunjuk Allah, namun besar dosanya kalau ia dikhianati.
Kewajipan tersebut disenaraikan dalam perintah Allah. Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]
Semua urusan kepemimpinan termasuk dalam amalan yang akan dihisab pada Hari Kiamat kelak, sama ada pemimpin mahupun mereka yang memilih pemimpin atau berada dalam pasukannya dalam pentadbiran, kehakiman, dan lain-lain.
Firman Allah SWT:
يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١
“(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami memanggil tiap-tiap umat dengan pemimpin mereka; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya dengan tangan kanannya, maka mereka ini akan membaca kitab mereka itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.” [Surah al-Isra’: 71]
Umat Islam kini ditimpa bencana sekularisme yang menyesatkan, apabila memisahkan urusan dunia daripada agama, khususnya kewajipan memilih pemimpin kerajaan tanpa sempadan agama Allah, sehingga melantik pemimpin yang tidak layak dari segi ilmu dan akhlaknya, serta pembohong dan yang diputuskan kesalahannya di mahkamah. Apabila dia memohon pengampunan, bermakna dia mengaku akan kesalahannya.
Keadaan ini menyebabkan umat Islam ditimpa berbagai-bagai kesusahan di alam dunia sebelum meninggal dunia dan menanti bencana hukuman Allah pada Hari Akhirat yang lebih menyeksa.
Namun, Allah sentiasa membuka pintu taubat sekiranya kembali kepada Islam sebagai al-din, satu-satunya agama yang diterima oleh-Nya.
Firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
Apabila tangan salah mengundi pemimpin yang disifatkan dengan ciri-ciri perosak dalam senarainya, iaitu berpolitik dengan kebendaan (rasuah), menipu dengan janji-janji bohong, dan melobi diri menjadi pemimpin, maka datanglah kerosakan aqidah melalui fahaman liberalisme dan pluralisme serta politik sekular yang terpisah daripada agama dan turutannya.
Di samping itu, turut berlaku ekonomi yang membebankan rakyat dengan inflasi disebabkan bergantung kepada jibayah (cukai), bukan hidayah yang memanfaatkan hasil dan sumber manusia. Demikian juga, terjadi keruntuhan moral dengan kemunculan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) serta bertambahnya kadar kemungkaran yang lemah dicegah, diikuti dengan kemusnahan alam sekitar.
Maka, muhasabah wajib dilakukan dengan mengubah kepada pemimpin yang benar-benar beriman dan budiman bersama ilmunya, bukan pemimpin yang berlagak.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Muharram 1446 / 16 Julai 2025
[Bil: 45 / 2025]