Home Berita PAS Pahang

PERTAB 2025 – Anak muda siap sedia teraju perjuangan

88
SHARE

Oleh : KHAULAH AL AZWAR

MARAN, 15 JULAI – Lebih 230 peserta daripada pelbagai institusi tahfiz dan sekolah menengah agama seluruh Pahang berkumpul sempena Perkhemahan Tahunan Briged Amal Malaysia Negeri Pahang (PERTAB 2025) berlangsung di Maran, Ahad lalu.

Program tiga hari bertempat di Pondok Lanting, Chenor tersebut berobjektif membina jati diri, kepimpinan, semangat kerjasama dan kecekapan asas pertahanan diri dalam kalangan generasi muda.

Dengan tema “Yang Ringan Sama Dijinjing, Yang Berat Sama Dipikul”, pelbagai aktiviti mencabar minda dan fizikal serta semangat kerjasama diatur seperti pertandingan Kawad Kaki Formasi, Pertolongan Cemas, Kompas Matching, Ikatan dan Simpulan, Masakan Survival serta Malam Kesenian Islam.

Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Haq, Muadzam Shah muncul juara keseluruhan sekaligus membuktikan kecemerlangan mereka dalam pelbagai aspek sepanjang program.

Pusat tahfiz yang terletak di daerah Rompin
tersebut mengungguli kategori Kompas Matching dan Masakan Survival serta acara Ikatan dan Simpulan di tempat kedua.

Bagi acara Kawad Kaki Formasi dan Medic telah dimenangi Maahad Dirasat Diniyyah (MADAD), Jerantut sementara Maahad Tahfiz Al Hakim, Jengka dan Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad, Balok masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Manakala bagi acara Semboyan dan Komunikasi telah dimenangi oleh Maahad Tahfiz Al Istiqamah, Temerloh, sementara Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kuantan menjadi jaguh bagi acara Ikatan dan Simpulan serta Malam Kesenian Islam.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Asshubrawi ketika berucap merasmikan majlis, meniupkan semangat kepada peserta agar meletakkan matlamat menjadi pelapis kepada perjuangan Islam dan penyambung risalah para nabi.

Acara penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelapis, Jabatan Amal Malaysia, Tuan Shehdi Hazrik Shamsudin sekaligus menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berkaitan, Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang selaku pihak penganjur merakam ucapan penghargaan kepada semua guru pengiring, guru penasihat dan pembimbing yang telah menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan PERTAB 2025 bukan sekadar satu perkhemahan, tetapi juga sebagai medan tarbiyah dan latihan serta wadah pembinaan karakter pelapis ummah.