Home Berita PAS Terengganu

Baik pulih Jalan Runtuh di Batu Rakit dijangka siap Oktober

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Projek pembaikan jalan dan tebing runtuh bernilai RM4.95 juta di Batu Rakit yang rosak akibat musim Monsun Timur Laut, kini menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober ini.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dibiayai menerusi Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu dilaksanakan oleh kerajaan negeri, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) membantu dari segi pemantauan teknikal.

“Kami meninjau projek ini yang dilaksanakan susulan runtuhan sepanjang 280 meter akibat cuaca buruk tempoh hari.

“Kerja-kerja ini dibuat bagi menyelamatkan pantai dan jalan yang ada di kawasan terlibat,” katanya ketika sidang media semasa meninjau tapak projek di Kampung Tanjung Batu Rakit, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Ir. Roslan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.

Menurut Alexander, setakat 15 Jun 2025, kemajuan fizikal projek telah mencapai 45.37 peratus iaitu 18 hari lebih awal daripada jadual, manakala kemajuan kewangan pula mencecah RM3.03 juta daripada jumlah keseluruhan RM4.95 juta, sekali gus mencerminkan tahap pelaksanaan yang sangat memuaskan.

“Saya diberi taklimat bahawa progres sangat baik dan bakal siap awal dari jadual.

“Mengikut prestasi kewangan pun mengikut seperti yang sepatutnya, ini boleh dikatakan terbaiklah,” jelasnya.

Beliau menjelaskan projek pembaikan ini dilaksanakan oleh syarikat SR Tech Resources bermula 8 April dan dijadual siap pada 7 Oktober 2025, justeru semua pihak terutama kontraktor diminta meneruskan kerja sehingga selesai sepenuhnya.

“Kita berharap bila tiba bulan Oktober nanti, ia akan siap dengan sempurna.

“itu penting, kita mahu kerjasama semua pihak sampai projek ini siap sepenuhnya,” tambahnya.

Dalam masa sama, projek pembinaan benteng pemecah ombak atau breakwater yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut dilaksanakan bersebelahan kawasan sama, sebagai pelengkap kepada usaha menyeluruh menangani hakisan pantai.

“Adapun kerja-kerja breakwater di belakang kita ini, ia merupakan kerja di bawah JPS.

“Kedua-dua projek ini kita harapkan akan menangani masalah runtuhan pantai,” ujarnya.

Menurut beliau, teknologi Cresmet Concrete yang digunakan untuk membina struktur tebing di lokasi itu dipilih kerana terbukti mampu menahan ombak secara ‘modular’ berdasarkan kajian khusus terhadap faktor ombak dan bentuk pantai.

“Saya difahamkan ia akan terbukti dan berkesan untuk menahan ombak.

“Semua itu sudah diambil kira, sebab itu reka bentuk tebing sebegitu,” jelas beliau.

Beliau turut menyeru penduduk agar terus bersabar, memberikan kerjasama, dan mematuhi semua arahan keselamatan demi memastikan kelancaran pelaksanaan kerja serta keselamatan bersama.

“Saya amat menghargai kesabaran dan sokongan rakyat.

“Kerana inilah kunci kepada kemudahan awam yang selesa dan selamat untuk semua,” ujarnya.