Home Berita PAS Terengganu

Gerakkan semua cawangan, Ameerah jangan bergantung kepada ‘Bonda’

6
SHARE

Oleh: RR

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS di semua peringkat digesa memberi tumpuan serius kepada usaha menggerakkan semua cawangan yang kurang aktif sebagai langkah utama memperkukuh jemaah dan mempersiapkan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 16.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff menekankan, kekuatan sebenar PAS terletak di peringkat paling dasar di kampung-kampung, nadi kepada keberkesanan organisasi parti bersama komuniti.

“Ketua muslimat kawasan mesti menyusun aktiviti dan menggerakkan cawangan-cawangan telah lama tidak aktif atau yang belum wujud,

“Susun jadual turun ke bawah, senaraikan cawangan yang belum ada dan pastikan tiada kawasan terabai,” jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu kali ke-52 di Markaz Tarbiyyah Kuala Ibai, jumaat yang lalu.

 

Siti Zailah turut menegaskan bahawa setiap lawatan ke cawangan mesti disertai dengan tindakan praktikal, bukan sekadar program seremonial.

“Bawa borang PAS, bawa Harakah, daftar ibu tunggal, anak yatim dan OKU, bawa borang Ameerah. Ini bukan teori lagi. Kita kena turun dengan tindakan,” katanya tegas.

Menurut beliau, banyak jentera parti hanya fokus kepada gerak kerja menjelang pilihan raya, sedangkan kekuatan undi bermula dari hubungan akar umbi yang dibina sejak awal.

“Kita kena faham, pengundi berada di cawangan. Kalau cawangan mati, jentera tak hidup, kita akan lemah. Jangan tunggu bubar parlimen baru nak buat kerja,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan agar bersiap siaga, mempunyai ejen, penceramah, aktivis kebajikan dan petugas penerangan yang bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan.

“Kalau kita berjaya, insya Allah kita bukan sahaja kekalkan kemenangan di Terengganu tapi jadi contoh untuk seluruh negara,” katanya

Sementara itu, beliau mengingatkan kepada golongan muslimat muda agar tidak menjadikan tanggungjawab rumah tangga sebagai alasan untuk mengabaikan perjuangan Islam, sebaliknya perlu teguh dalam iman, faham matlamat dan bijak mengurus kehidupan.

“Kita tak nak terutama bagi Wanita muda yang jadikan alasan kesibukan keluarga untuk istiqamah dalam perjuangan. Kita ingat masa depan Islam di tangan kita,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ameerah diingatkan agar tidak bergantung semata-mata kepada generasi Muslimat yang lebih berusia, sebaliknya perlu tampil ke hadapan dan bersedia mengambil peranan utama dalam menghadapi cabaran semasa.

“Ameerah tidak boleh berlindung di sebalik bonda-bonda kita. Kita mesti kuat, berani, dan tampil sebagai generasi pelapis yang mampu memikul amanah perjuangan ini,” tegas beliau lagi.