Home Berita PAS Terengganu

Semua jawatan menang tanpa bertanding

8
SHARE

KUALA NERUS – Pemilihan kepimpinan baharu Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi sesi 2025–2027 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kesemua jawatan utama diputuskan secara menang tanpa bertanding, mencerminkan kesepakatan dan kestabilan dalam jentera pemuda negeri.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu Kali Ke-56 yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa, Batu Enam, hari ini.

Menerusi pemilihan itu, Ustaz Mohd Hamdi Harun, anak kepada tokoh ulama terkenal Allahyarham Tuan Guru Dato’ Harun Taib, diumumkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu yang baharu, mengambil alih tampuk kepimpinan dengan mandat penuh daripada perwakilan.

Turut menang tanpa bertanding ialah barisan utama yang lain, termasuk jawatan Timbalan Ketua (Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli), Naib Ketua (Irsyad Syafiq Burhanuddin), serta barisan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Negeri yang lain.

Proses pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang pertikaian, sekali gus menunjukkan tahap kematangan dan semangat ukhuwah yang tinggi dalam kalangan saf kepimpinan pemuda.

Dalam ucapan sulungnya, Ustaz Hamdi menyeru seluruh saf kepimpinan untuk memikul amanah ini dengan penuh keinsafan, merendah diri serta berpandukan prinsip kebenaran dan keadilan.

“Apabila semua jawatan dipersetujui secara sepakat tanpa pertandingan, ia bukan sahaja memudahkan urusan organisasi, bahkan memberi kelebihan kepada kita untuk terus fokus kepada agenda besar membina generasi pelapis Islam di Terengganu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pasukan baharu ini komited untuk meneruskan agenda dakwah, kebajikan dan pendidikan anak muda, serta memperkukuh persiapan jentera pilihan raya.

Pemilihan tanpa bertanding ini turut disifatkan sebagai satu simbol kematangan politik dan perpaduan dalaman Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, selaras dengan prinsip syura dan semangat jamaah yang menjadi tunjang gerakan Islam.