Home Berita PAS Terengganu

Terengganu tuan rumah Persidangan Ortodontik Antarabangsa kali pertama

80
SHARE

KUALA TERENGGANU – Buat kali pertama, Terengganu telah terpilih bagi Persidangan Saintifik Antarabangsa & Pameran Perdagangan Persatuan Ortodontis Malaysia (MAOISCTE) Kali Ke-31, sekali gus mencatat sejarah tersendiri dalam bidang kesihatan pergigian negeri.

Menteri Besar, Dato’ Sri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif ke arah amalan pergigian yang lebih lestari, inklusif dan berteraskan teknologi.

Menurutnya, pendekatan tersebut selaras dengan usaha dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan pergigian yang adil dan menyeluruh, khususnya kepada komuniti luar bandar.

“Tema tahun ini, ‘Kelestarian Dalam Bidang Ortodontik’ sangat bertepatan dengan arus pembangunan kesihatan masa kini yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan klinikal, tetapi juga kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial.

“Terima kasih kerana memilih Terengganu menjadi tuan rumah bagi Persidangan Saintifik Antarabangsa & Pameran Perdagangan Persatuan Ortodontis Malaysia Kali Ke-31 buat julung kalinya,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh jaringan profesional dan perkongsian ilmu dalam bidang berkenaan, persidangan yang diadakan di Primula Beach Hotel di sini berjaya menghimpunkan pengamal ortodontik dari lima buah negara termasuk Malaysia.

Himpunan delegasi daripada luar serta dalam negara bagi MAOISCTE Kali Ke-31 itu jelas menjadikan persidangan pertama di seluruh pantai timur kali ini lebih signifikan dan berprestij.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua delegasi dari dalam dan luar negara, khususnya tetamu utama dari Itali, New Zealand, Korea Selatan dan Taiwan yang turut hadir dalam persidangan berprestij ini.

“Selamat datang ke Terengganu. Negeri kaya warisan, indah budayanya,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman sosial media rasminya, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan harapan agar persidangan ini menjadi pemangkin kepada perkongsian ilmu yang lebih luas, merintis inovasi baharu serta memperkukuh jaringan profesional demi manfaat rakyat dan kemajuan negara.