KUALA TERENGGANU – Pembahagian hasil dan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu difahami dengan tepat agar tidak timbul kekeliruan mengenai kedudukan sebenar negeri dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa segala bentuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri termasuk negeri yang tidak sehaluan politik merupakan tanggungjawab berasaskan perjanjian persekutuan, bukannya ihsan atau pertimbangan politik.
“Apabila negeri-negeri menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, segala hasil mahsul seperti minyak, gas, hutan, cukai dan sumber semula jadi diserahkan kepada Kerajaan Pusat. Maka berdasarkan perjanjian tersebut, terdapat lebih 13 jenis pemberian yang wajib disalurkan semula kepada kerajaan negeri.
“Kita tidak pernah menafikan pemberian tahunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada semua negeri, termasuk negeri pembangkang. Malah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang menerima jumlah yang lebih besar. Namun, perlu ditegaskan bahawa pemberian ini bukanlah satu bentuk belas kasihan atau kemurahan hati PMX sebaliknya, ia adalah tanggungjawab mengikut perjanjian persekutuan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial rasminya, kelmarin.
Beliau menegaskan bahawa pemberian itu tidak wajar dijadikan modal politik, seolah-olah negeri perlu berterima kasih atas ‘kebaikan’ kerajaan pusat.
Tambah beliau, negeri hanya mempunyai akses kepada hasil daripada tanah, hutan dan air, manakala kutipan utama seperti cukai pendapatan, duti kastam, saman, denda, dan pelbagai jenis cukai lain dikutip dan disalurkan terus kepada kerajaan pusat.
“Realitinya, hasil cukai menjadi tunjang kepada kewangan negara dan negeri. Semua hasil seperti cukai LHDN, lesen, saman polis, duti setem, duti kastam dan sebagainya masuk ke Persekutuan.
“Negeri pula hanya bergantung kepada hasil tanah, hutan, air serta cukai premis. Ke mana perginya hasil minyak dan gas daripada Terengganu dan Kelantan, kita semua sudah maklum,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Dr. Azman turut mencadangkan agar semakan semula kadar pemberian kepada negeri-negeri dibuat, bersandarkan kepada peningkatan kutipan hasil negara yang sebahagiannya disumbangkan oleh negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan.
“Kita tidak mempersoalkan jika negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang mendapat peruntukan lebih besar kerana mereka mempunyai hasil yang tinggi. Namun, negeri lain juga berhak menerima kadar yang adil dan setimpal dengan sumbangan mereka kepada ekonomi negara,” katanya.
Kenyataan beliau itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan bahawa pembangunan di Kelantan akan terus ketinggalan tanpa peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan seolah-olah membayangkan bahawa kemajuan negeri bergantung kepada pertimbangan politik pusat semata-mata.
“Asas pembentukan negara ini perlu difahami secara tuntas agar peranan dan tanggungjawab antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak dipolitikkan. Kedua-duanya mempunyai bidang kuasa dan fungsi yang wajib dihormati,” tegas beliau.