Home Berita PAS Terengganu

10 Tindakan Strategik Muslimat

13
SHARE

Oleh; RR

KUALA TERENGGANU – Sepuluh tindakan strategik digariskan bagi memperkukuh peranan Muslimat PAS di semua peringkat, selari dengan tuntutan semasa dan cabaran politik yang semakin mencabar.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To Puan Hajah Zarani Othman berkata, seluruh kepimpinan dan ahli diseru menghayati tema tahun ini, “Muslimat Istiqamah Teguh Memimpin”, sebagai asas dalam menggerakkan perjuangan parti dan menyantuni masyarakat.

“Penghayatan terhadap tema ini akan menjadi asas kekuatan dalam setiap aspek gerak kerja Muslimat, sama ada dalam tarbiyah, pengurusan, dakwah mahupun khidmat masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu kali ke 52 di Markaz Tarbiyyah Kuala Ibai pada semalam.

Turut ditekankan ialah keperluan memperkukuh tarbiyah melalui pendekatan seperti usrah, tamrin dan mukhayyam, selain meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan organisasi serta memastikan pemantauan berterusan di semua peringkat.

“Pemerkasaan kepimpinan dan pengurusan profesional bagi memperkemas urus tadbir dan pengurusan organisasi secara lebih sistematik dan berkesan, serta melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan kualiti di semua peringkat,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, penguasaan ilmu syariah dan kemahiran fardu kifayah juga perlu diperkasakan agar setiap Muslimat dapat membuat keputusan secara bijaksana dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

“Pembangunan potensi dan perkaderan bagi melahirkan dan melatih lebih ramai naqibah, ‘murabbiyah’, jurucakap dan pengurus berwibawa, serta giat melaksanakan perkaderan ahli baru untuk kelangsungan kepimpinan masa hadapan,”ujar Zarani.

Beliau turut menyeru Muslimat agar aktif menjuarai isu-isu semasa, masyarakat, termasuk isu wanita, keluarga dan anak muda, selain mempergiat program kebajikan dan dakwah yang menyantuni semua lapisan rakyat, termasuk bukan Islam.

“Mengenal pasti dan membina generasi pelapis muslimat yang berakhlak dan berwibawa untuk memimpin parti dan kerajaan di peringkat DUN, kawasan dan negeri,” katanya.

Menyentuh soal persiapan menghadapi pilihan raya, kepimpinan Muslimat diingatkan supaya memperkemas jentera pilihan raya, memperluas capaian penerangan dan memupuk ketahanan dalam menghadapi cabaran politik semasa.