Home Berita PAS Terengganu

Lahirkan Pelapis, Elak Perjuangan Terputus

10
SHARE

Oleh ; RR

KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS diingatkan agar tidak leka dengan kedudukan sedia ada, sebaliknya memberi tumpuan serius melahirkan pelapis perjuangan Islam.

Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu, To Puan Hajah Zarani Othman berkata, ia adalah membina barisan pemimpin baharu yang faham, bersedia dan istiqamah memikul amanah perjuangan, selaras dengan sunnah Islam yang mementingkan kesinambungan dalam saf kepimpinan.

“Anak-anak pimpinan muslimat di semua peringkat dan anak-anak jemaah di kampus perlu dikenalpasti, dibimbing serta ditarbiyah secara sistematik.

“Kita tidak akan kekal selama-lamanya. Jika tiada pelapis, perjuangan ini boleh terhenti.

“Jangan hanya salahkan anak muda, sedangkan kita tidak pernah memberi mereka ruang dan peranan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu kali ke 52 di Markaz Tarbiyyah Kuala Ibai pada hari ini.

Menurutnya, perkaderan bermula dari rumah yang mana kempen “Keluargaku Ahli PAS” sedang digerakkan dipandang sebagai platform utama membina pelapis bermula dari institusi keluarga.

“Bukan cukup anak-anak tahu PAS, tetapi mereka perlu dibawa masuk, dibimbing, dan dirangkul dalam jemaah agar menjadi pendokong yang setia serta faham perjuangan,” jelasnya.

Beliau menambah, peranan entiti khusus untuk anak muda wanita seperti Ameerah, Briged Muslimat dan Nusaibah yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pimpinan dan ibu bapa sebagai ruang pembangunan kepimpinan generasi muda.

“Ameerah, Briged Muslimat dan Nusaibah perlu tampil lebih kreatif, proaktif, berdaya saing dalam merancang strategi dan melaksanakan program yang relevan, segar serta menarik minat anak muda wanita.

“Usaha ini diharapkan dapat memperkukuh penglibatan generasi muda dan melahirkan barisan pelapis kepimpinan wanita yang berwibawa.

Justeru itu, beliau menggesa agar semua pihak lebih proaktif menggalakkan penyertaan anak-anak dalam platform tersebut dan membantu menjayakan program-program mereka agar minat serta semangat perjuangan terus subur dalam diri anak muda.

Beliau menambah, perkaderan bukan tugas Lajnah Tarbiyah sahaja tetapi adalah amanah seluruh saf muslimat.

Jangan biarkan perjuangan ini berakhir tanpa pewaris,” ujar beliau.

Katanya, beliau berharap usaha melahirkan pelapis kini dilihat bukan lagi satu pilihan, tetapi kewajipan strategik agar perjuangan Islam terus hidup dalam jiwa generasi akan datang.