Home Berita PAS Terengganu

Projek Solar Terapung-Hab Hidrogen Hijau di Terengganu Dilancar

14
SHARE

HULU TERENGGANU – Satu sejarah dalam sektor tenaga boleh diperbaharui apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Kenyir.

Pelancaran tersebut menjadi simbol komitmen negara untuk menjadi peneraju serantau dalam pembangunan hidrogen hijau selain menyokong agenda tenaga bersih melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

Projek Hab Hidrogen Hijau ini merupakan kerjasama strategik antara dua syarikat gergasi, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc bagi membangunkan pengeluaran hidrogen dan produk berkaitan.

Sementara itu, projek HHFS pula dibangunkan oleh anak syarikat TNB, TNB Genco Sdn Bhd, bersama Terengganu Inc selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kerjasama ini menggabungkan kekuatan dua syarikat utama negara dalam membentuk ekosistem tenaga yang mampan dan dinamik.

“Ini membuka ruang kepada kepelbagaian sumber tenaga negara yang lebih kukuh, dan pada masa sama menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan rantau ini.

“Projek ini juga akan dibangunkan di Koridor Kenyir-Kertih dan merupakan yang pertama seumpamanya dari segi skala.

“Ia melibatkan pembangunan bersepadu daripada penjanaan tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran hidrogen hijau serta penghasilan metanol dan ammonia hijau” ujarnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di
Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kenyir.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Menurut Presiden dan CEO TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, kerjasama dalam Hab Hidrogen Hijau Terengganu menjadi pemangkin utama kepada transformasi tenaga bersih negara.

“Projek HHFS Kenyir pula membuktikan bagaimana TNB memanfaatkan loji hidro sedia ada untuk menyimpan tenaga dan menstabilkan grid, sekali gus menampung permintaan tenaga secara cekap,” katanya.